PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Selangor Noh Omar berkata, Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menunjukkan prestasi terbaik sebagai wakil rakyat parti tersebut di negeri itu.
Katanya usaha Budiman menyantuni pengundi dalam usaha menawan kembali Selangor itu perlu dicontohi wakil rakyat BN di negeri itu.
Kenyataannya yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini menggambarkan sokongan kepada Zohdi, yang disebut-sebut sebagai salah seorang calon untuk jawatan menteri besar BN sekiranya parti itu berjaya merampas semula pentadbiran Selangor.
Dua lagi nama yang disebut-sebut ialah Adun Batang Kali Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Adun Dengkil Shahrom Mohd Sharif.
Noh menambah, wakil rakyat BN perlu mencontohi kerja keras ditunjukkan Budiman yang mencatat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertinggi dalam kalangan wakil rakyat BN di negeri itu.
“Soal siapa bakal menteri besar jika BN merampas Selangor biar pucuk pimpinan putuskan kemudian, tetapi saya nak beritahu wakil rakyat yang mendapat markah KPI tertinggi ialah Budiman kerana kerja buat yang dilakukannya.
“Kalau kita nak rampas (Selangor) contohi apa yang dibuat Budiman, santuni semua rakyat dan bukannya hanya penyokong kita atau kelompok tertentu sahaja,” kata Noh, dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.
Beliau yang pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kini giat menyerang kerajaan Selangor terutama dalam isu melibatkan dana untuk kegiatan budaya dan kesenian.
Budiman yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar dalam pilihan raya kecil pada Jun 2106 berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Noriah Kasnon.
Noriah terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada bulan sebelumnya. – 30 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan