Rakyat Bulgaria mengundi kali ke-3 tahun ini


Presiden Bulgaria Rumen Radev memasukkan kertas undi di salah satu pusat mengundi di Sofia ketika pilihan raya umum negara itu hari ini. Ini merupakan pilihan raya umum ketiga Bulgaria dalam tempoh setahun – Gambar EPA, 14 November 2021.

RAKYAT Bulgaria keluar mengundi buat kali ketiga dalam tempoh setahun hari ini, dengan harapan pilihan raya umum terbaru itu akan membentuk kerajaan yang stabil sekali gus dapat membendung gelombang Covid-19 di negara tersebut.

Pusat pengundian dibuka pada 7.00 pagi (waktu tempatan) dan dijadualkan tutup pada 8.00 malam ketika keputusan pertama dikeluarkan.

“Kita mesti mengundi tetapi saya juga takut semuanya akan sia-sia… Saya tidak mempunyai banyak harapan,” kata Milena Stoyanova yang berusia 62 tahun kepada AFP pada malam pilihan raya sambil merumuskan ini merupakan piliha raya paling suram.

Biarpun ramai berkata mereka tidak akan bersusah payah pergi ke pusat mengundi, namun pakar kewangan berusia 35 tahun Petar Angelov berpandangan beliau “pasti akan mengundi… untuk perubahan” dan “masa depan yang lebih baik”.

Selepas dua pilihan raya sebelum ini pada April dan Julai, Parlimen negara itu kembali terbubar apabila semua parti gagal mewujudkan pakatan yang stabil.

“Saya berharap pemimpin politik mendapat pengajaran dan ini akan mendorong mereka untuk berunding,” kata profesor sains politik di Universiti New Bulgaria Antony Todorov kepada AFP.

“Kita tidak boleh tidak mempunyai kerajaan,” kata Boryana Dimitrova dari Institut Penyelidikan Alpha sambil menekankan keperluan untuk membendung gelombang Covid-19 terburuk yang melanda negara itu.

Hanya lebih 23% daripada populasi Bulgaria yang berjumlah 6.9 juta orang lengkap divaksin, kadar terendah di kalangan Kesatuan Eropah.

Pentadbiran sementara gagal melaksanakan langkah pembendungan lebih ketat dan menghentikan jangkitan serta kematian baharu daripada terus meningkat.

Dengan kira-kira 200 orang terkorban setiap hari di hospital yang kekurangan staf, kadar kematian Bulgaria minggu ini adalah antara yang tertinggi di dunia.

“Wujud keadaan kelam kabut,” kata Todorov. – AFP, 14 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen