Pasukan petugas khas ditubuh semak kes Pulau Batu Puteh, kata menteri


Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan itu turut akan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2021.

JEMAAH Menteri pada 29 Oktober lepas bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas, bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan yang akan diketuai bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali itu, turut akan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.

“Keputusan ini adalah susulan komitmen kerajaan untuk melaksanakan semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, selepas keputusan semakan dan tafsiran kes tersebut tidak diteruskan kerajaan pada 17 Mei 2018, dengan mengambil kira kepentingan negara dan implikasi kos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Oktober lepas mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Menurut Wan Junaidi, memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan pasukan petugas khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan, akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Wan Junaidi berkata, pasukan berkenaan akan mengemukakan dapatan dan syor kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan, sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober lepas.

Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008, yang memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Malaysia memfailkan permohonan semakan itu bersandarkan tiga dokumen yang baru didedahkan oleh United Kingdom.

Dokumen terbabit merupakan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British, dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun-tahun 1960-an.

Pada 16 Feb 2017, Apandi yang merupakan peguam negara ketika itu berkata beliau akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan itu di ICJ, di Hague, Belanda.

Bagaimanapun pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut, sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Pada 28 Mei lepas, seorang individu Mohd Hatta Sanuri, 45, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia bagi menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik permohonan semakan itu.

Menurut Wan Junaidi selain Apandi, pasukan itu antaranya turut akan terdiri daripada dua peguam tempatan yang mengendalikan kes ini dari 2016 hingga 2017 iaitu Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, serta wakil-wakil dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan dan kerajaan negeri Johor.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, dan Kementerian Luar Negeri, akan bertindak sebagai urus setia untuk pasukan petugas khas ini,” katanya. – Bernama, 14 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen