Pengasas WikiLeaks dapat kebenaran kahwin di penjara UK


Julian Assange ditahan di penjara dengan keselamatan ketat Belmarsh di London sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung rayuan ekstradisi AS. – Gambar EPA, 14 November, 2021.

PIHAK berkuasa penjara Britain memberi kebenaran kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange berkahwin semasa dalam tahanan, kata tunangnya, sambil menunggu keputusan mahkamah penting berhubung kemungkinan ekstradisi Amerika Syarikat (AS).

Assange, yang dikehendaki Washington berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan kebocoran dokumen sulit, merancang berkahwin dengan Stella Moris, seorang daripada bekas pasukan guamannya yang mempunyai dua anak.

Beliau ditahan di penjara Belmarsh dengan keselamatan ketat di London sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung rayuan AS terhadap keputusan mahkamah rendah yang menghalang ekstradisinya.

WikiLeaks berkata dalam satu kenyataan lewat Khamis yang pasangan itu mengambil tindakan undang-undang selepas mereka disekat daripada berkahwin.

“Berita baik: Kerajaan UK mengalah 24 jam sebelum tarikh akhir,” tulis Moris di Twitter bersama gambar pasangan itu berdiri di bawah pelangi.

“Saya dan Julian kini mendapat kebenaran untuk berkahwin di penjara Belmarsh.

“Saya lega tetapi masih marah kerana tindakan undang-undang diperlukan untuk menghentikan campur tangan terhadap hak asasi kami untuk berkahwin.”

Jurucakap Perkhidmatan Penjara berkata: “Permohonan Encik Assange telah diterima, dipertimbangkan dan diproses sebagaimana biasa oleh gabenor penjara, seperti mana-mana banduan lain.”

Warga Australia, Assange, 50, ditahan di Britain pada 2019 kerana melanggar ikat jamin, selepas menghabiskan tujuh tahun di dalam kedutaan Ecuador di London untuk mengelak ekstradisi ke Sweden untuk berdepan dakwaan serangan seksual. Ia kemudiannya digugurkan.

Kerajaan AS mendakwanya dengan 18 pertuduhan berkaitan WikiLeads membocorkan 500,000 fail rahsia pada 2010 yang memperincikan aspek kempen ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.

Ia membolehkan beliau di penjara sehingga 175 tahun, walaupun pasukan undang-undang Washington mendakwa kemungkinan hukumannya sukar untuk dijangka serta mungkin jauh lebih pendek.

Bagaimanapun, hakim mahkamah daerah UK, Vanessa Baraitser memutuskan pada Januari adalah “menindas” mengekstradisi Assange kerana risiko seriusnya membunuh diri dan kemerosotan kesihatan mental.

AS sedang merayu keputusan itu, dengan Mahkamah Tinggi menetapkan keputusan dalam beberapa minggu sama ada akan memfailkan semula kes itu ke mahkamah rendah untuk pertimbangan baharu.

Pihak yang kalah juga boleh meminta kebenaran untuk rayuan terakhir selanjutnya kepada Mahkamah Agung UK. – AFP, 14 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen