Kes Assange tetap jadi ancaman kepada kewartawanan penyiasatan


Tindakan menerbitkan maklumat sulit yang kerajaan AS tidak mahu terbitkan kepada umum, tidak sama dengan aktiviti pengintipan. – Gambar EPA, 5 Januari, 2021.

PENGASAS WikiLeaks Julian Assange berjaya menangkis serangan apabila seorang hakim Britain menolak untuk mengekstradisi beliau ke Amerika Syarikat bagi menghadapi tuduhan di bawah undang-undang pengintipan.

Bagaimanapun, para pakar berkata kesnya tetap akan membawa ancaman buruk kepada kebebasan akhbar.

Hakim Vanessa Baraitser berkata, tuduhan AS dijustifikasikan terhadap Assange, 49, yang pada 2010 mengejutkan dunia dengan menerbitkan beratus-ratus ribu dokumen sulit berkaitan ketenteraan dan diplomatik.

Namun Baraitser memutuskan bahawa masalah kesihatan mental Assange mungkin akan membuatkan beliau membunuh diri di penjara AS.

Ini menjadikan kes dan pandangan Jabatan Kehakiman AS terhadap aktiviti Assange masih kekal sebagai ancaman terhadap wartawan yang mengendalikan isu-isu keselamatan negara, di mana maklumat sulit sangat berguna.

Bruce Brown, pengarah eksekutif Jawatankuasa Pelapor Kebebasan Akhbar menyebut perjanjian Baraitser dengan dakwaan AS terhadap Assange “sangat membimbangkan,” walaupun beliau tidak akan mengekstradisi Assange ke AS.

“Tindakan menerbitkan maklumat sulit yang kerajaan AS tidak mahu terbitkan kepada umum, tidak sama dengan aktiviti pengintipan,” katanya.

“Teori undang-undang kerajaan dalam hal ini tetap berbahaya dan mengancam prinsip kebebasan akhbar.”

Mahkamah Britain “menyokong pendakwaan AS walaupun menolak permintaan ekstradisi AS,” kata Jameel Jaffer, pengarah Institut Pindaan Pertama Knight di Universiti Columbia.

“Hasilnya adalah dakwaan Assange akan terus membayangi kewartawanan penyiasatan,” katanya di Twitter. – AFP, 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen