Pemandu van sekolah dibebas dengan jaminan polis


PEMANDU van sekolah yang ditahan selepas dipercayai melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun hingga maut di Taman Seroja, Sepang semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Md Noor Aehwan Mohammad, berkata pihaknya mengambil keterangan pemandu wanita berusia 31 tahun itu dan kertas siasatan berhubung kemalangan itu dibuka.

“Siasatan awal mendapati, van yang digunakan oleh pemandu itu juga mempunyai cukai jalan sah. Siasatan lanjut masih lagi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kanak-kanak perempuan itu maut dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu untuk memasuki rumah transit di Taman Seroja kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu van menghantar mangsa ke rumah transit sebelum ke kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa).

Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan namun meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Md Noor Aehwan. – Bernama, 13 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen