4 lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh


POLIS menahan 4 lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Sungai Pelek, Sepang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mereka yang berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di Ladang Sepang pada jam 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada teman wanita mangsa dengan menyatakan mangsa yang berusia 45 tahun ditetak di hadapan rumahnya, kira-kira jam 11.30 malam.

“Semasa mangsa berada di luar rumah kerana mahu muntah selepas mengambil sedikit minuman beralkohol, tiba-tiba datang sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah.

“Dua suspek keluar dari kereta itu dengan seorang daripadanya bertindak menetak mangsa di belakang badan dan kepala manakala seorang lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum melarikan diri dengan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Putrajaya dan kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebilah parang berhulu merah, topi keledar dan kesan darah di atas lantai.

Katanya, selain penahanan keempat-empat lelaki itu, pihaknya turut merampas sebuah Proton Iswara dan Perodua Bezza serta 4 telefon bimbit.

Siasatan awal mendapati 3 daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dan semuanya kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh, katanya. – Bernama, 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen