INSIDEN lori tangki minyak yang meletup di Freetown, ibu negara Sierra Leone minggu lalu kini meragut 131 nyawa, kata pihak berkuasa hari ini.
“Jumlah kematian meningkat kepada 131, dengan 63 orang dimasukkan ke hospital,” kata Lamarana Bah, ketua komunikasi di Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, memberitahu AFP.
Pada Isnin, sekurang-kurangnya 115 maut dan 91 cedera.
Bencana itu berlaku apabila sebuah lori merempuh lori tangki minyak pada Jumaat di kawasan perindustrian Freetown.
Orang ramai berkumpul untuk cuba mengambil minyak yang bocor tetapi lori tangki itu kemudian meletup, menyebabkan mereka semua disambar api.
Presiden Julius Maada Bio mengisytiharkan tiga hari berkabung mulai Ahad.
Negara itu membuat rayuan menderma darah dan kain pembalut, ubat penahan sakit dan cecair infusi untuk mereka yang cedera.
Bekas tanah jajahan British dengan 7.5 juta orang penduduk itu, Sierra Leone adalah salah satu negara termiskin di dunia, walaupun mempunyai kekayaan mineral termasuk berlian.
Ekonominya masih bergelut dengan kesan perang saudara 1991-2002 yang menyebabkan 120,000 maut dan kesan wabak Ebola yang melanda tiga negara Afrika Barat dari 2013-16, diikuti pada 2020 oleh Covid-19. – AFP, 11 November, 2021.
Komen