BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 68 ekor kambing baka boer bernilai RM102,000 yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Kampung Jubakar Darat di Tumpat, tengah malam tadi.
Pegawai Pemerintah Medan PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan selepas sepasukan anggotanya terserempak dengan sebuah lori pada 12.30 tengah malam.
“Anggota PGA9 yang membuat pemerhatian mendapati lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori dan mengarahkan kenderaan itu supaya berhenti untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan kemudian menemukan 68 ekor kambing manakala pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membawa haiwan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nor Azizan berkata kambing dan lori bernilai RM162,000 itu akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Beliau berkata pihaknya percaya permintaan dan harga tinggi ternakan kambing menyebabkan ada pihak menyeludup masuk kambing baka itu.
“Kesemua kambing itu juga berkemungkinan akan diseludup sehingga ke luar Kelantan bergantung atas permintaan,” katanya. – Bernama, 3 November, 2021.
Komen