PASUKAN Gerakan Am (PGA) bersiap siaga memperkasa kawalan dan menempatkan pegawai serta anggotanya dalam pengambilalihan tugas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) yang dijangka bermula September ini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata setakat ini, perancangan pihaknya adalah untuk menempatkan lebih 20 pegawai dan anggota di setiap sekatan jalan raya (SJR) yang dikendalikan Aksem di Kelantan.
“PGA telahpun menyenaraikan kekuatan pegawai dan anggota dan kita akan lihatlah selepas arahan diterima kita akan mulakan penugasan di Aksem nanti, manakala yang lain itu kita tunggu daripada Kementerian Dalam Negeri dalam hal mengambil alih kemudahan prasarana dan pejabat Aksem khususnya di Rantau Panjang, dekat Pasir Mas,” katanya.
Hasan Basri berkata demikian pada sidang media Op Benteng di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di Pasir Mas hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi pengambil alihan tugas Aksem di Kelantan, ia melibatkan tiga lokasi SJR iaitu Neting di Pengkalan Kubor, Cabang Empat Salam di Rantau Panjang dan Lalang Pepuyu di Tanah Merah.
“Setiap kenderaan yang melalui SJR ini akan diperiksa dengan teliti bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan jenayah dapat dibendung,” katanya sambil memberitahu pihaknya akan turut memperkasakan penugasan di sempadan Malaysia-Thailand.
Pada 30 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengumumkan Aksem yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan dan tugas-tugas agensi berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hamzah berkata tugas-tugas berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam iaitu PGA.
Dalam perkembangan lain, Hasan Basri berkata, Batalion Ketujuh PGA mematahkan cubaan menyeludup 348 kilogram ayam sejuk beku di pangkalan haram Pok Ngoh, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 11.30 malam tadi.
Beliau berkata rampasan itu dianggarkan bernilai RM10,480 termasuk sebuah kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Namun, beberapa suspek lelaki berjaya meloloskan diri ke negara jiran dengan menaiki perahu selepas menyedari kehadiran anggota di lokasi kejadian, katanya. – Bernama, 5 Julai, 2021.
Komen