Adham mengaku takut waktu tandatangan Akta 342


Adham Baba hari ini mendedahkan ketika memegang jawatan menteri kesihatan beliau gentar untuk tandatangan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana kesan besarnya membuatkan rakyat dikenakan sekatan pergerakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 November, 2021.

ADHAM Baba hari ini mendedahkan bahawa beliau sebenarnya gentar untuk menurunkan tanda tangan pada Mac 2020 bagi menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ketika pandemik Covid-19 melanda.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata ia adalah pengalaman tidak dapat dilupakan kerana apabila beliau menandatangani dokumen tersebut sebagai menteri kesihatan ketika itu, secara automatik rakyat negara ini tidak dapat bergerak bebas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak pernah dalam sejarah seorang menteri tandatangan Akta 342,” kata Dr Adham ketika berkongsi the untold story (kisah disebalik) itu pada Majlis Perkongsian Strategik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Putrajaya hari ini.

“Betapa gentarnya saya nak tandatangan Akta 342, nak laksanakan lockdown (sekatan pergerakan) satu negara. Semua orang diperintah stay at home (duduk di rumah) bermula 18 Mac 2020,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Susulan penguatkuasaan Akta 342 bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dalam negara ini, PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 dengan beberapa status peringkat pelaksanaannya sebelum negara beralih kepada fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara bermula 15 Jun lepas.

Dr Adham berkata apabila Akta 342 dikuatkuasakan, setiap peraturan terkandung dalam akta tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 walaupun mendapat kritikan hebat dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Setiap patah dan ayat dalam Akta 342 kita gunakan untuk pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19,” katanya. – Bernama, 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen