KUMPULAN pembantah Hong Kong hari ini berhimpun di hadapan ibu pejabat kerajaan selepas aktivis pro-demokrasi dihalang dari bertanding dalam pilihan raya.
Agnes Chow, 21, yang merupakan salah seorang penggerak demonstrasi Pergerakan Payung pada 2014 menjadi berita terbaharu dalam gerakan menuntut demokrasi di Hong Kong.
Langkah ini menandakan yang Beijing sedang memperketat cengkaman terhadap bandar separa-autonomi itu.
Malah ia juga menunjukkan kemarahan China terhadap apa yang dilihat kerajaan sebagai cabaran kepada kedaulatan negara itu oleh aktivis pro-demokrasi.
Sabtu lalu, kerajaan menolak permohonan Chow untuk bertanding dalam pilihan raya pada Mac depan kerana partinya, Demosisto mahukan Hong Kong diperintah berasingan dari tanah besar China.
Chow adalah antara aktivis, penggubal undang-undang, ahli akademik dan pelajar yang menggembleng lebih 2,000 pembantah di luar ibu pejabat kerajaan itu.
“Kerajaan sedang cuba untuk menghancurkan semua parti politik yang menentang mereka,” kata Chow disambut tepukan gemuruh.
“Tetapi, walaupun kita diasak dan ditekan, kita masih mahukan hak asasi dan kebebasan,” tambahnya.
Bersama diasaskan aktivis demokrasi Joshua Wong, Demosisto tidak membuat kempen menuntut kemerdekaan tetapi mahu Hong Kong menentukan nasib sendiri selain referendum untuk rakyatnya memutuskan bagaimana mereka mahu ditadbir. – AFP, 28 Januari, 2018.
Komen