AKTIVIS Hong Kong Joshua Wong telah dipenjarakan untuk tiga bulan bermula hari ini kerana menghalang pembersihan khemah-khemah tunjuk perasaan pro-demokrasi pada 2014.
Ini merupakan kali kedua beliau dipenjarakan berkaitan tunjuk perasaan.
Wong, 21, yang mengaku bersalah atas tuduhan itu sudah pun diikat jamin sementara menunggu rayuan atas kesalahan satu lagi yang boleh mengakibatkan beliau dipenjara selama tiga bulan Rayuan itu berkaitan dengan Pergerakan Payung.
Dengan meningkatnya cengkaman kerajaan China, protes-protes pro-demokrasi menimbulkan rasa takut terhadap para aktivis pro-demokrasi untuk meluahkan kebebasan bersuara memandangkan ianya boleh mengundang mereka untuk dipenjarakan.
Dalam pada itu, rakan aktivisnya Raphel Wong juga dipenjarakan untuk tempoh empat bulan dan 15 hari atas kesalahan sama.
Menjelang sesi pendengaran, Joshua Wong berkata, beliau “tidak menyesal” dengan penglibatannya itu.
“Mereka boleh penjarakan tubuh kami, tapi mereka tak boleh penjarakan minda kami,” katanya kepada pemberita.
Dalam reaksinya di Twitter semalam, Wong berkata beliau menerima keputusan mahkamah itu dan berharap kumpulan pro-demokrasi akan bersatu.
“Kami akan mengundi di penjara dalam pilihan raya kecil Mac ini,” tulisnya di Twitter.Hari ini, ramai penyokong berhimpun di luar Mahkamah Tinggi dengan melaungkan pelbagai slogan mengangkat isu kebebasan bersuara.
Today the high court has sentenced me to 3 months of jail.
— Joshua Wong Chi-fung (@joshuawongcf) January 17, 2018
Pergerakan Payung yang terdiri dari ribuan penyokong adalah satu tindak balas terhadap Beijing yang mana pemimpin sekarang ini dilantik oleh jawatankuasa yang pro-Beijing.
Pergerakan ini menuntut adanya pilihan raya bebas untuk memilih pemimpin di sebahagian besar bandar di Hong Kong
Bagaimanapun mereka gagal mencapai hasrat itu selain beberapa pemimpin aktivis ditangkap atas keterlibatan mereka itu.
Berikutan itu juga, dapat dilihat kerisauan Beijing atas tuntutan pergerakan itu yang mahukan kemerdekaan Hong Kong.
Parti Wong iaitu Demosisto menuntut agar Hong Kong menentukan masa hadapan sendiri.
Hong Kong telah diambil alih kembali oleh China sejak 1997 selepas British menyerahkan kembali pulau itu kepada republik itu dengan mengenakan syarat “dua sistem, satu negara.”
Perjanjian itu, berlawanan dengan sistem sedia ada tanah besar China, memberikan kebebasan buat rakyat Hong Kong termasuklah kebebasan bersuara, memilih secara langsung pemimpin parlimen, selain sistem mahkamah yang bebas. – AFP, 17 Januari, 2018.
Komen