Polis Melaka tidak pilih bulu kompaun parti politik, kata ketuanya


Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata polis 'buta warna' tentang parti politik, tidak pilih bulu apabila menguatkuasakan undang-undang, peraturan cegah Covid-19 di Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2021.

POLIS tidak pilih bulu terhadap mana-mana parti politik apabila menguatkuasakan peraturan dan undang-undang mencegah penularan Covid-19 di Melaka, kata Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali.

“Kita mengambil tindakan tanpa memilih parti, kerana keutamaan kita adalah (untuk) menjaga keselamatan awam. 

“Kami ‘buta warna’ tentang parti politik, kerana polis adalah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mendaulatkan undang-undang,” katanya, seperti dipetik Bernama di Melaka.

Katanya, parti politik yang dikenakan kompaun di Melaka setakat diambil tindakan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Antara pelanggaran SOP itu termasuk menggalakkan orang ramai berkumpul di sesuatu tempat, tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak menyediakan Kod QR MySejahtera dan cecair pembasmi kuman.

Abdul Majid mengulas dua kompaun yang dikeluarkan di Melaka setakat ini iaitu ke melibatkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada 27 Oktober dan PKR semalam.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini menggesa Kementerian Kesihatan menjelaskan larangan perhimpunan berkaitan PRN Melaka selepas ceramah parti itu malam tadi, yang dibuat dari atas lori dan tidak melibatkan perhimpunan umum, dikenakan kompaun.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/348467

Muda juga sebelum ini mempertikaikan kompaun yang dikenakan terhadap mereka susulan sidang media di kawasan terbuka dekat bangunan Stadthuys, minggu lalu. Sidang media itu melibatkan lima pemimpin parti, diketuai presiden penajanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengenai jumlah kompaun yang dikenakan, Abdul Majid berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh merujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk rayuan pengurangan. – 31 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen