Kerajaan Melaka tumbang sebab Pakatan, jangan salahkan Umno, kata Najib


Ahli Parlimen Pekan Najib Razak berkata Umno tidak boleh disalahkan kerana Pakatan Harapan sendiri mengaku berkomplot jatuhkan kerajaan negeri Melaka sehingga perlu mengadakan pilihan raya negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2021.

UMNO tidak boleh dipersalahkan kerana Pakatan Harapan (PH) sebenarnya punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka, kata Najib Razak hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu menjawab kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendedahkan sebelum ini pembangkang telah bertemu dengan empat Adun sebelum menarik sokongan terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali.

“Itu dia. Perjumpaan dan persetujuan sebelum 4 Adun tarik sokongan. 

“Pengakuan rasmi dari PH hari ini bahawa mereka yang berkomplot dan tumbangkan kerajaan Melaka sehingga PRN (pilihan raya negeri) perlu dibuat. 

“Jadi, jangan salahkan Umno lagi,” kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Anwar mendedahkan Majlis Presiden PH belum memuktamadkan status tiga Adun yang menarik sokongan kepada kerajaan Melaka pimpinan Umno.

Beliau turut mengakui yang pembangkang ada bertemu dengan empat Adun sebelum mereka menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Anwar berkata ketika itu empat Adun tersebut telah bersetuju untuk menyokong kerajaan negeri pimpinan PH.

Empat Adun tersebut ialah Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effendi Ahmad (Telok Mas) dan bebas Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Dalam masa sama, PH berkata ia tidak akan beri kerusi untuk Norhizam, yang memenangi kerusi DUN bagi DAP pada pilihan raya umum lalu berikutan bantahan keras parti itu.

Bagaimanapun status tiga Adun itu masih belum dimuktamadkan.

Pada PRN akan datang, PKR akan bertanding 11 kerusi, Amanah sembilan kerusi dan DAP lapan.

PRN Melaka dengan 28 kerusi DUN akan diadakan pada 20 November. – 31 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen