MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan status tiga Adun yang menarik sokongan kepada Umno yang memimpin kerajaan negeri Melaka.
Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu pemberita perkara itu akan dibincangkan sebelum keputusan muktamad boleh dibuat.
“Kami di peringkat akhir perbincangan mengenai tiga Adun yang menarik balik sokongan mereka daripada kerajaan negeri.”
“Bukan keputusan saya, sebaliknya PH Melaka yang meminta kerjasama mereka dan mereka mengambil keputusan menyokong PH dan memulihkan mandat kepada PH.
“Mereka menyokong untuk mengembalikan mandat kami. Mereka bersedia untuk dipecat dan tahu akibatnya, jadi kami tidak boleh mengetepikan mereka.”
“Saya kurang bersetuju untuk orang longgokkan mereka sebagai satu kumpulan sama seperti Langkah Sheraton, yang mengkhianati amanah rakyat.
“Bagaimanapun, mereka ini mahu kembalikan amanah rakyat kepada PH,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis Deepavali di kawasannya di Port Dickson pagi ini.
Tiga Adun itu, Idris Haron (Sg Udang-BN), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-PN).
Ketiga-tiga mereka dipecat daripada parti masing-masing.
PH tidak akan memberi kerusi kepada penyandang Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee.
Norhizam memenangi kerusi di bawah tiket DAP pada pilihan raya umum 2018, tetapi berpaling tadah dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri PH di Melaka pada 2020.
Pada pilihan raya akan datang, PKR akan bertanding di 11 kerusi, Amanah (9) dan DAP (8).
Pilihan raya negeri Melaka bagi DUN 28 kerusi adalah pada 20 November. – 31 Oktober, 2021.
Komen