SEKURANG-KURANGNYA 12 orang awam terbunuh pada Sabtu dalam satu letupan berhampiran lapangan terbang Aden, ibu negara sementara kerajaan Yaman, kata pegawai kanan keselamatan memberitahu AFP.
“Seramai 12 orang awam terbunuh dalam satu letupan” di sekitar lapangan terbang Aden dan terdapat juga kecederaan serius,” kata pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan, sambil menambah punca letupan tidak diketahui.
Letupan berlaku hampir tiga minggu selepas enam orang terbunuh dalam serangan bom kereta yang menyasarkan gabenor Aden.
Rakaman AFP pada Sabtu menunjukkan orang ramai menarik keluar mayat dari kenderaan yang musnah, ketika anggota bomba memadamkan api berhampiran.
Kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpindah ke Aden dari Sanaa pada 2014, dipaksa keluar oleh Huthi, yang menentang penyokong setia kerajaan Yaman yang disokong Arab.
Gabungan tentera diketuai Arab Saudi campur tangan dalam perang Yaman pada 2015.
Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung letupan pada Sabtu, yang merangut paling banyak nyawa di kawasan itu sejak Disember tahun lalu, apabila serangan menyasarkan anggota Kabinet di lapangan terbang Aden.
Sekurang-kurangnya 26 orang, termasuk tiga ahli Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah terbunuh dan ramai lagi cedera apabila letupan menggegarkan lapangan terbang ketika para menteri turun dari pesawat.
Semua anggota Kabinet dilaporkan tidak cedera, yang didakwa oleh beberapa menteri adalah serangan Huthi.
Beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran semakin sengit di sekitar satu-satunya kubu kuat utara kerajaan yang tinggal—bandar Marib di wilayah kaya minyak dengan nama yang sama.
Gabungan itu berkata ia membunuh kira-kira 2,000 pemberontak di sekitar bandar itu dalam serangan hampir setiap hari sejak 11 Oktober.
Yaman juga merupakan pusat bagi Al-Qaeda di Semenanjung Arab, melancarkan serangan berkala terhadap pejuang yang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu dan pemberontak.
Puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam terbunuh dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dalam konflik Yaman, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai bencana kemanusiaan terburuk di dunia. – AFP, 31 Oktober, 2021.
Komen