Perhimpunan politik atau tidak, jangan langgar SOP, kata Hamzah


Noel Achariam

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata sebarang bentuk perhimpunan tidak boleh melanggarp prosedur operasi standard (SOP) sama ada berkaitan pilihan raya negeri Melaka atau pun tidak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

SEBARANG bentuk perhimpunan tidak boleh melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, perkara ini merentas semua parti politik atau kumpulan, sama ada untuk pilihan raya atau pun tidak.

“Sama ada pilihan raya atau tidak, bukan sahaja di Melaka tetapi di mana-mana. Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih terpakai. SOP masih terpakai.

“Seperti penjarakkan sosial, memakai pelitup muka. Ia bukan semata-mata untuk pilihan raya,” katanya di Melaka hari ini pada satu acara yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani.

Hamzah mengulas denda RM10,000 yang dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN) kerana melanggar SOP ketika pelancaran jentera pilihan raya Melaka dan seorang anggota parti Muda perlu membayar denda RM4,000 kerana menghadiri sidang media khas di kawasan terbuka di Melaka.

Ahad lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah melarang sebarang aktiviti, perarakan atau perjumpaan sosial berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

Beliau berkata larangan itu adalah selaras dengan senarai aktiviti tidak dibenarkan dibuat di bawah SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional yang terbaru.

“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” kata Khairy.

Hamzah berkata apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan SOP mereka, ia akan berbeza daripada ini.

“Ia (SOP) masih belum diumumkan oleh SPR. Bila sudah siap kita akan ambil tindakan berdasarkan apa yang SPR umumkan.

“Terdapat perbezaan antara kedua-duanya (Akta 342 dan SOP SPR).”

Tambahnya, jika parti politik ingin berkempen dalam pilihan raya maka mereka perlu tunggu sehingga SOP diumumkan oleh SPR. – 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen