RM70 juta jumlah kecil untuk kesihatan mental, belanjakan dengan bijak, kata pakar


Hailey Chung Wee Kye

Kesihatan mental diberi penekanan susulan pandemik Covid-19 di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth AKmal, 30 Oktober, 2021.

RM70 juta dalam Bajet 2022 untuk menangani kesihatan mental bukanlah jumlah yang besar dan mesti diperuntukkan dengan bijak, kata pakar psikologi.

Dr Joel Low, pengarah dan pakar psikologi di The Mind Psychological Services and Training berkata, RM70 juta adalah “setitik air di lautan” memandangkan bilangan kes dan orang yang terjejas ketika pandemik Covid-19.

“Jika anda mengambil RM70 juta itu, dan mungkin membelanjakannya untuk latihan, tidak banyak pakar terapi atau sesi terapi baharu dapat diwujudkan.

“Ia harus dibelanjakan untuk kesedaran bagi semua peringkat kumpulan umur,” kata Low yang juga ahli exco Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Pakar psikologi Dr Tan Chee Seng bersetuju RM70 juta tidak mencukupi untuk menampung isu kesihatan mental di semua negeri dan wilayah persekutuan di negara ini.

Beliau mencadangkan jumlah itu ditukar kepada geran yang boleh dipohon oleh penyelidik dan pengamal.

“Pakar pasti berminat kerana mereka mempunyai idea dan tahu apa yang diperlukan orang ramai. Benarkan mereka melakukan tugas mereka dan menggunakan kaedah berasaskan bukti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jika dijadikan geran, proposal secara terbuka perlu dibuat dan bukannya melantik terus universiti awam untuk mengambil alih, katanya.

“Meminta proposal secara terbuka akan meningkatkan peluang mendapatkan projek berkualiti. Setiap negeri mempunyai NGO dan pengamal tempatan yang lebih mengetahui kawasan itu berbanding yang lain.

“Kementerian boleh memastikan dana itu benar-benar digunakan untuk projek,” kata Tan. – 30 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen