Krisis kesihatan mental, ekonomi akibat pandemik


KESIHATAN mental boleh dikaitkan dengan pelbagai punca dan antara paling dekat dengan skop  ekonomi adalah pekerjaan. 

Kehilangan pekerjaan, guna tenaga tidak penuh atau underemployment dan pengangguran dalam jangka masa panjang adalah punca seseorang boleh menghidap penyakit mental. 

Masalah ini berkait rapat dengan penyakit mental seperti kegelisahan, kemurungan dan  kehilangan kepuasan dalam kehidupan mereka. 

Selain itu, perlindungan dan jaminan pekerjaan juga menjadi kayu ukur kepada penyakit mental  pekerja. 

Pekerjaan seperti pekerja dalam skop kemahiran rendah dan sederhana mempunyai jaminan  pekerjaan yang rendah ditambah dengan perlindungan pekerjaan minimum. 

Mereka terdedah  kepada risiko kehilangan pekerjaan tanpa sebarang pampasan. 

Perkara ini membimbangkan apabila berlaku krisis ekonomi seperti situasi sekarang. 

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bagi membendung penyebaran  koronavirus kerana risiko penyebarannya mampu melumpuhkan sistem kesihatan di Malaysia. 

Kesan sampingan daripada tindakan ini mencetuskan sekatan kepada aliran dalam  ekonomi. 

Hasil paling hampir dengan rakyat Malaysia adalah pekerjaan mereka. 

PKP menyebabkan kesan sampingan kepada pekerjaan terutama pekerjaan di dalam kategori berkemahiran sederhana dan rendah seperti pengurangan pembayaran gaji kerana masa bekerja dikurangkan, potongan gaji atas kapasiti jualan yang rendah dan paling membimbangkan ialah kehilangan pekerjaan. 

Secara profil, pekerjaan berkategori tersebut selalunya datang daripada keluarga berpendapatan  rendah dan paling berisiko kerana sumber pendapatan mereka hanya bergantung pada satu individu sahaja. 

Mereka seperti ini dikategorikan sebagai golongan rentan pasti berada di dalam risiko yang  tinggi terutama semasa krisis ekonomi. 

Sebelum krisis ini berlaku, kehidupan mereka serba kekurangan dan tidak mempunyai perlindungan sekali gus menyukarkan untuk merancang pelan pelampung jika berlaku krisis seperti ini. 

Sebagai contoh, golongan rentan sukar menabung atau mencari peluang menjana pendapatan pasif. 

Hal ini terbukti dengan rakyat Malaysia sukar mengeluarkan RM1,000 jika berlaku kemalangan dan mampu bertahan selama 3 bulan jika mempunyai tabungan. 

Situasi ini jelas menggambarkan mereka mengalami kegusaran daripada  kesan ekonomi dan hal ini akan mendedahkan mereka kepada penyakit mental seperti kegelisahan dan kemurungan melampau. 

Selain itu, kesihatan mental ini juga berlaku kepada pesakit Covid-19 terutama kepada bekas pesakit. 

Mereka akan mengalami kesan sampingan semasa dijangkiti atau selepas sembuh daripada  Covid-19 yang dipanggil kesan “Long Covid-19”. 

Mereka akan mengalami masalah psikologi seperti kemurungan dan gelisah boleh memberi kesan dalam menjalani rutin semasa bekerja. 

Lebih membimbangkan, mereka juga terdedah dengan gangguan kognitif yang amat penting untuk melakukan pekerjaan. 

Perkara ini akan menjadi rumit apabila bekas penyakit Covid-19 kehilangan pekerjaan boleh membawa kepada masalah mental yang serius.  

Pada November 20203, Kementeriaan Kesihatan mengesahkan 53.3% daripada 37,009 panggilan daripada “Helplines During Covid-19” adalah pemanggil meminta sokongan psikologi dan  emosi. 

Lebih mengejutkan lagi, 86.1% daripada jumlah panggillan meminta sokongan psikologi dan  emosi adalah pemanggil daripada umur 20-39 tahun dan 40-59 tahun. 

Keadaan ini jelas menggambarkan masalah kesihatan mental berada dalam risiko yang tinggi dan lebih teruk lagi apabila berlaku semasa kapasiti dan kecekapan sistem kesihatan awam yang terhad diuji dengan  penyebaran Covid-19. 

Kesan kesihatan mental akan timbul dalam jangka masa yang panjang terutama di dalam pasaran  buruh di Malaysia. 

Pada 2017 hingga 20204, bilangan penganggur meningkat 11.4% tetapi bilangan penganggur selama jangka masa setahun hingga 3 tahun meningkat sebanyak 16.5% lebih tinggi daripada jumlah bilangan penganggur semasa. 

Kesan kesihatan mental ini dapat mengganggu momentum penganggur daripada mencari pekerjaan baharu dan tidak berminat untuk reskilling dan relearning bidang atau kemahiran baharu.  

Kesihatan mental antara perkara yang penting untuk diberi perhatian oleh pemegang taruh kesihatan terutama dalam krisis yang berlaku sekarang. 

Inisiatif membendung perkara ini seperti menubuhkan dan mengerakkan bantuan talian seperti Kasih dan KSK-care line wajar diteruskan walaupun krisis sekarang ini akan sampai ke titik noktah. 

Inisiatif tersebut juga diperkukuh dengan mempercepatkan penyediaan perkhidmatan rawatan kesihatan mental iaitu Mentari dianggarkan sebanyak 40 unit komuniti pada hujung 2025. 

Bagaimanapun, inisiatif ini juga perlu disulami dengan program kesedaran kesihatan mental yang memberi fokus kepada mencegahnya daripada peringkat mula. – 16 Jun, 2021.

* Amirul Hamza Abdullah, penganalisa Institut Masa Depan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen