Syarikat berpendapatan tinggi kena cukai khas 24%


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata skim Cukai Makmur yang akan dikenakan ke atas syarikat pendapatan cukai RM100 juta pertama adalah bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan menghadapi sebarang ancaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Oktober, 2021.

SYARIKAT yang menjana pendapatan tinggi akan dikenakan cukai khas 24% untuk membiaya golongan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Skim dinamakan Cukai Makmur itu akan dikenakan ke atas syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama, katanya ketika membentangkan Bajet 2022.

“(Ia) bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan,” katanya lagi di Dewan Rakyat.

Tambahnya pendapatan bercukai selebihnya bagi syarikat terbabit akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

Pelaksanaan cukai tersebut didukung ahli ekonomi yang menggesa ia dikenakan ke atas syarikat seperti pengeluar sarung tangan.

Syarikat tersebut yang meraih untung besar sewaktu pandemik disaran agar dikenakan cukai lebih besar untuk menyediakan bantuan berterusan kepada golongan memerlukan.

Selain itu, Bajet 2022 juga mengurangkan cukai pendapatan bagi pengusaha kelapa sawit dengan menaikkan nilai ambang levi keuntungan luar biasa ke atas pengusaha.

Bagi semenanjung, nilai ambang dinaikkan dari RM2,500 kepada RM3,000 manakala bagi Sabah dan Sarawah nilai itu dinaikkan dari RM3,000 kepada RM3,500.

“Kadar levi Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada 3 peratus seperti mana kadar levi di semenanjung,” katanya Tengku Zafrul lagi. – 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen