Belanjawan 2020 perlu beri lebih bantuan kepada wanita B40, kata NGO


Aminah Farid

Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Putrajaya esok perlu lebih inklusif dan bertimbang rasa terhadap wanita kurang berkemampuan, kata NGO. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2021.

BELANJAWAN 2020 yang akan dibentangkan Putrajaya esok perlu lebih inklusif dan bertimbang rasa terhadap wanita kurang berkemampuan dan terdedah kepada risiko seperti ibu tunggal dan mangsa keganasan rumah tangga, kata organisasi bukan kerajaan (NGO).

Mereka mencadangkan dasar “diskriminasi positif” bagi golongan wanita ini dan langkah lain yang lebih mampan selain bantuan kewangan, umpamanya sokongan penjagaan anak, geran bersasar, pusat perlindungan keganasan rumah tangga yang lebih baik, program meningkatkan kemahiran dan memperkasakan pemimpin wanita dalam masyarakat mereka.

Ketua Pegawai Operasi Women of Will (WoW) Lakshwin Muruga berkata sebagai contoh, usahawan wanita daripada kumpulan B40 perlu akses kepada perkakasan seperti computer, tablet, pencetak selain liputan data Internet yang baik untuk perniagaan mereka.

“Kebanyakan usahawan wanita kami tinggal dalam perumahan PPR di mana kelajuan liputan Internet sangat perlahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menubuhkan sumber komuniti secara berkongsi seperti pusat perniagaan dan pusat kesihatan akan membolehkan usahawan wanita memasarkan produk mereka, selain mendapat akses kepada perkakasan komunikasi dan bekerjasama dalam projek lebih besar.

Beliau berkata usahawan wanita B40 juga memerlukan sokongan dalam menaik taraf kemahiran mereka dalam mencipta model perniagaan dan produk yang lebih kompetitif.

“Mereka pada masa ini bersaing dalam pasaran lebih kompetitif kerana ramai individu yang berkemahiran turut hilang pekerjaan ketika Covid yang memulakan perniagaan di rumah dan bersaing dengan usahawan wanita B40 yang biasanya kurang mahir.”

Katanya, kerajaan boleh menawarkan sistem sokongan kepada kumpulan wanita ini seperti ruang selamat di mana mereka boleh bertemu dan  berbincang tentang cabaran dihadapi dan saling menyokong antara satu sama lain.

WoW ialah sebuah NGO yang bekerjasama dengan wanita kurang berkemampuan di Malaysia dan masyarakat mereka menerusi pembiayaan mikro kredit dengan Program Pembangunan Usahawan.

“Penting untuk usahawan wanita mempunyai sistem sokongan ketika mereka meluaskan perniagaan dan pulih daripada pandemik,” kata Lakshwin. – 28 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen