Politik Kedah pasca Mukhriz


Awang Azman Awang Pawi

KINI hampir genap dua tahun Mukhriz Mahathir tidak lagi menjadi menteri besar Kedah. Beliau meletak jawatan selepas krisis politik yang menyebabkan hilang sokong majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Ketika peristiwa itu berlaku, rakyat Kedah sedang meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah ke-88 dengan penuh kegembiraan. Namun tiba-tiba sekumpulan pemimpin Umno negeri bertindak mendesak Mukhriz berundur daripada jawatan menteri besar. Sebelum itu juga, rakyat masih meraikan kejayaan Kedah sebagai naib juara Piala Malaysia.

Tindakan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian dan cuba mengheret ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam Umno bagi mempertikaikan kepimpinan Mukhriz semakin rancak. Beberapa Adun Barisan Nasional (BN) Kedah dikatakan berkumpul membincangkan krisis Umno negeri. Namun, hanya 17 daripada 21 Adun mewakili BN negeri yang hadir selain seorang menteri pusat.

Ketika itu, Mukhriz masih mempunyai sokongan beberapa Adun yang setia kepadanya termasuklah Adun Jitra Aminuddin Omar yang tidak mahu menandatangani surat pengakuan hilang kepercayaan terhadap menteri besar.

Namun Mukkhriz tidak dapat bertahan daripada tekanan dalaman Umno sehingga terpaksa melepaskan jawatan menteri besar Kedah kerana kegagalannya mendapat sokongan majoriti daripada para Adun.

Dipecat

Di sebalik undi tidak percaya terhadapnya, Mukhriz mendakwa beliau ditekan agar berundur kerana kritikannya terhadap isu kontroversi 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi presiden Umno.

Beberapa bulan selepas itu, bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, beliau dipecat oleh Majlis Tertinggi Umno kerana mengkritik secara terbuka presiden berhubung isu kontroversi 1MDB. Tindakan Mukhriz ini didapati melanggar disiplin parti.

Ketika menjelaskan isu ini, Najib Razak juga berkata Mukriz berkongsi pentas dengan pimpinan pembangkang dan serangan bertali arus mereka terhadap Umno membawa kepada pemecatan tersebut.

Tindak balas politik

Tindakan pemecatan Mukhriz membawa kepada gelombang baru politik Kedah. Jerlun merupakan bahagian paling awal diwakili wakil rakyat Bersatu selain Pagoh di Johor.

Akar umbi politik ketika itu masih terkejut apabila Mukhriz terpelanting dari jawatan MB secara tiba-tiba. Di peringkat kepimpinan akar umbi, Mukhriz masih popular dalam kalangan rakyat, dan dikenali sebagai pemimpin mesra rakyat dan sering turun padang.

Beliau juga banyak membantu sekolah pondok, pelbagai program rakyat. Di peringkat bawah, beliau dianggap sebagai ikon pemimpin masa depan Kedah dan bakal pemimpin besar di peringkat nasional.

Tindakan membuat undi tidak percaya ketika tempoh ketika itu berbaki cuma dua tahun lagi dan mandat rakyat kepada Mukhriz masih ampuh ternyata menjengkelkan dalam konteks politik Kedah.

Selama kepimpinan tersebut, Mukhriz sendiri tidak ada isu seperti masalah kesihatan, skandal politik atau masalah peribadi yang boleh menjejaskan nama baiknya. Sebab itu, bagi penduduk tempatan pemecatan anak Dr Mahathir Mohamad ini seolah-olah tidak mewakili suara akar umbi sebenar rakyat Kedah.

Kini Pakatan Harapan (PH) mempunyai sembilan kerusi di DUN Kedah, manakala PAS menguasai tujuh kerusi dan BN masih mempunyai 20 kerusi di Kedah.

BN Kedah tergugat?

Faktor Mukhriz dan Dr Mahathir dijangka memberikan impak besar kepada perubahan landskap politik Kedah pada pilihan raya umum akan datang. Politik personaliti Mukhriz yang merendah diri, disukai ramai dan sering serta mudah ditemui dalam majlis rakyat dijangka akan membawa politik perubahan di Kedah. 

Ramai juga bersimpati kerana menganggap beliau “dicantas politik” akibat sikap berterus-terang dan terlalu berani menyuarakan isu nasional seperti 1MDB.

Hubungan Mukhriz dengan PAS Kedah juga baik namun dalam PRU akan datang pertandingan tiga penjuru sukar untuk dielakkan. Sudah pasti, ia akan memberikan kelebihan kepada kemenangan BN. 

Namun, dalam hal ini, sama ada Mukhriz di Kedah manakala Azmin Ali di Selangor perlu ada strategi terbaik dalam menghadapi pertandingan dua atau tiga mahupun lebih penjuru.

Kalau dulu, Shafie Apdal menjadi pengerusi Perhubungan Kedah dan berjaya membawa kemenangan kepada Umno Kedah pada PRU 2013. Pada kali ini Shafie menjadi pembangkang dan dijangka akan memberikan sokongan politik kepada Mukhriz di Kedah.

Kalau dulu, nama Mukhriz dijanjikan untuk menjadi menteri besar sekiranya BN berjaya menawan Kedah yang ketika itu dikuasai oleh kerajaan PAS. Namun, pada PRU 2018, nama Mukhriz akan pasti dijanjikan akan menjadi MB sekali lagi tapi atas tiket parti Bersatu.

Jadi, faktor Mukhriz sebagai bekas MB, anak Dr Mahathir dan dipecat memberikan simpati politik yang tinggi dan tidak boleh diabaikan dalam penentuan sokongan terhadap PH.

Di pihak Umno Kedah, sudah pasti terdapat dilema politik kerana sukar menamakan calon menteri besar baharu kerana selama ini dalam minda rakyat Kedah, Mukhriz calon paling layak sebagai MB Kedah.

Bagi menangkis dan mengelak ditawan PH, Umno Kedah perlu menamakan MB Kedah terdiri daripada calon muda bukannya calon sudah lanjut usia. Calon juga perlu dilihat berintegriti tinggi, popular, berpendidikan tinggi, mesra rakyat dan berwibawa.

Faktor Dr Mahathir

Dr Mahathir tidak dapat dipisahkan daripada Umno meskipun beliau sudah beberapa kali keluar masuk dalam Umno. Faktor Dr Mahathir mantan perdana menteri dan bakal perdana menteri calon PH juga sangat penting mempengaruhi undi di Kedah, tambahan pula beliau anak tempatan.

Beliau digambarkan PH sebagai negarawan yang sudah berumur lanjut, namun masih sanggup memperjuangkan apa-apa yang dianggapnya benar.

Tanpa Dr Mahathir, Umno akan mengalami defisit sokongan. Bayangkanlah apabila Dr Mahathir keluar Umno akibat bersengketa dengan Pak Lah sebagai perdana menteri pada 2008. Tindakan ini membawa kejatuhan kerajaan BN di kedah pada 2008. Apabila Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno pada 2013, Dr Mahathir berjaya membantu BN menawan Kedah semula.

Hal ini bermakna faktor Dr Mahathir boleh menyebabkan hayunan undi di Kedah begitu kuat berlaku. Tindakan memperlekehkan keupayaan Dr Mahathir samalah seperti tindakan menafikan ancaman Bersatu di Kedah di tahap minima. BN di negeri yang mempunyai 83% Melayu ini perlu bekerja lebih kuat jika tidak mahu ditewaskan oleh PH.

Gelombang Bersatu di bawah kepimpinan Mukhriz di Kedah dan Dr Mahathir di peringkat nasional menyebabkan ancaman Bersatu lebih ampuh daripada PAS di Kedah.

Nostalgia baru terhadap Dr Mahathir dijangka mampu melonjakkan undi di Kedah manakala Bersatu berupaya mencipta gelombang politik besar di Kedah. 

Ini belum termasuk undi protes senyap, sabotaj, undi simpati, dan anti penyandang dalam kalangan pengundi golongan muda. – 28 Januari, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • mungkin dulu orang masih menghormati Tun tapi sekarang rasanya rakyat dah nampak siapa sebenarnya Tun..dia hanya kembali untuk dapatkan semula jawatan anak beranak dia..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

    • Ini adalah antara suara suara yang tidak memahami realiti sebenar. Mengatakan Tun kembali aktif hanya kerana untuk jawatan anak beranak beliau....betapa dangkalnya kamu.

      Berpijaklah dibumi nyata...adakah anda memahami malapetaka yang sedang kita semua hadapi?
      Adakah anda memahami kepimpinan kleptokrat?..atau adakah anda memahami apa itu kleptokrat?

      Banyak banyakkanlah membaca...jangan membaca apa yng anda ingin baca sahaja...dan mendengar apa yang anda ingin dengar. AKAL kita adalah kurnia Tuhan yang tidak dianugrahkan kepada makhlukNya yang lain.

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Putra Kraken · Ulasan

  • Mat basha kena siap pakai pampers nt terberak dlm suar

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan