Layanan berbeza apa? soal Najib kepada Dr Mahathir 


Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan beliau menerima layanan istimewa dalam mendapatkan semula pasportnya untuk sementara bagi melakukan perjalanan ke Singapura.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Oktober, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang disabitkan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa, hari ini berkata beliau tidak menerima sebarang layanan istimewa dalam mendapatkan semula pasportnya sementara untuk perjalanan ke Singapura.

Beliau menjawab kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam yang mempersoalkan bagaimana Najib boleh mendapat semula pasportnya untuk melawat anaknya Nooryana Najwa dan cucunya yang baharu lahir di Singapura.

“Ini saya tak tahu apa jenis pemerintahan ini,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang.

Minggu lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan pasport Najib dikembalikan untuk sementara supaya beliau boleh ke Singapura.

Dan terdahulu hari ini, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk meminda tarikh pelepasan pasportnya ke Singapura, yang membolehkan beliau memimpin pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Tiga hakim berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan dokumen perjalanan Najib diubah dari 25 Oktober hingga 6 Disember untuk melawat cucunya yang baru lahir di Singapura.

Dalam posting di Facebooknya hari ini, Najib berkata beliau memohon dengan mahkamah untuk dapatkan semula pasportnya dan bukan dengan kerajaan.

“Layanan berbeza apa?” soalnya.

“Saya mohon pasport sementara dari mahkamah. Saya bukan mohon peguam negara tarik balik pendakwaan seperti (Lim) Guan Eng,” katanya merujuk kepada setiausaha agung DAP dan bekas menteri kewangan dalam pentadbiran Dr Mahathir.

Beliau berkata keputusan untuk melepaskan pasportnya dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim dan Mahkamah Rayuan.

“Jika Atok tak puas hati, bolehlah kecam hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang berpengalaman.

“Buatlah sidang media untuk kecam hakim-hakim, kita nak,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata mereka bukan hakim yang tidak berpengalaman, tidak seperti hakim sivil yang ditukarkan tiba-tiba ke mahkamah jenayah untuk gantikan hakim bagi kes SRC International.

Najib merujuk kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mensabitkannya atas kesalahan rasuah pada Julai tahun lepas.

Nazlan telah mengetuai kes sivil sebelum mengambil alih kes Najib.

“Inilah layanan berbeza pada saya semasa Atok jadi perdana menteri ke tujuh.

“Apa komen Atok tentang layanan ini pula?” soalnya.– 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen