Hubungan akrab ibu bapa, anak cegah remaja bunuh diri, kata pakar


Angie Tan

Anak tidak akan kekok untuk meluahkan perasaan jika ibu bapa meluangkan lebih banyak masa bersama dan mendengar segala masalah mereka, kata kaunselor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

KOMUNIKASI terbuka dan hubungan yang akrab antara ibu bapa dan anak dapat mencegah kemurungan yang membawa kepada kes bunuh diri dalam kalangan remaja, kata kaunselor.

Kaunselor Ooi Gaik Ean daripada LifeLine Malaysia berkata anak tidak akan kekok untuk meluahkan perasaan jika ibu bapa meluangkan lebih banyak masa bersama dan mendengar segala masalah mereka.

“Jika ibu bapa sibuk dan tiada komunikasi dengan anak, hubungan itu tidak akrab.

“Hubungan yang mesra dan akrab ialah meluangkan masa untuk berbual dengan anak serta mendengar masalah mereka.

“Ringkasnya, ibu bapa perlu menyelami hati anak-anak,” kata Ooi kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, remaja adalah golongan yang sensitif dan mudah cenderung melakukan perkara negatif seperti membunuh diri apabila tertekan misalnya akibat perceraian ibu bapa atau masalah kewangan keluarga.

Kecenderungan serupa juga boleh timbul jika ada ahli keluarga yang rapat dengan mereka meninggal dunia, tambahnya.

Oii berkata demikian bagi mengulas peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan remaja yang kian meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kematian akibat bunuh diri di Malaysia naik dua kali ganda dari 2019 hingga 2020.

Sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan antara Januari hingga Julai tahun ini, berbanding 262 kes sahaja tahun lalu, iaitu pertambahan sebanyak 376 kes.

Bagi Sim Chia Wei, kaunselor berdaftar di Bodhi Counselling, ibu bapa katanya perlu sentiasa mendengar dan berbicara dengan anak.

“Berikan anak peluang yang sama dalam berkomunikasi. Banyakkan mendengar masalah anak. Kadangkala anak sukar meluahkan apa yang ada dalam fikiran atau yang mereka pendamkan, selalunya kerana ibu bapa tidak mendengar dengan sabar.

“Ini akan menyebabkan anak terus hentikan perbualan kerana merasakan ia hanya sia-sia,” kata Sim.

Hubungan yang akrab antara ibu bapa dan anak mencegah kemurungan yang membawa kepada kes bunuh diri dalam kalangan remaja, kata kaunselor. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2021.

Masalah emosi dan kebimbangan

Isu bunuh diri boleh dibincangkan secara terbuka dengan anak, kata Ketua Pegawai Operasi Pusat Kaunseling Agape Johor Bahru Charis Teong Siew Huong.

“Saya faham dalam budaya orang Cina kami seboleh mungkin akan mengelak bercakap tentang isu-isu negatif.

“Tetapi selagi ia dibincangkan secara terbuka, anda boleh beritahu anak ada cara lain yang lebih sihat untuk tangani kesedihan.

“Dengan cara ini mereka apabila bersedih mereka akan bercakap dengan ibu bapa atau kaunselor supaya fikiran mereka tidak buntu,” Teong memberitahu The Malaysian Insight.

Ibu bapa juga katanya boleh mencari topik yang menarik untuk dibualkan bersama anak semasa menonton televisyen misalnya.

“Apabila anak tidak teragak-agak meluahkan sesuatu yang menyedihkan, mereka akan tahu bahawa apa yang mereka alami tidaklah seteruk seperti yang disangkakan,” katanya.

Susulan laporan mengenai peningkatan kes bunuh diri dalam negara, Pusat Kaunseling Agape mewujudkan talian telekaunseling pada Julai lalu, kata Teong.

Menurutnya, pusat itu menerima purata enam hingga sepuuh panggilan cubaan bunuh diri dalam seminggu, kebanyakannya daripada remaja.

“Semua panggilan ini berkaitan masalah emosi, tekanan dan kebimbangan. Setiap kes disebabkan oleh punca yang berbeza.

“Namun, berdasarkan pemerhatian saya kebanyakan remaja ini kurang kasih sayang dan perhatian ibu bapa,” jelasnya. – 26 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen