Peguam DAP kaji larangan perhimpunan sosial di PRN Melaka, kata Guan Eng


Noel Achariam

Setiausaha Agung DAP itu berkata pasukan perundangan akan mengkaji sama ada larangan dan sekatan berat kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan dan peraturan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober 2021.

DAP akan mengarahkan peguamnya meneliti larangan Kementerian Kesihatan bagi melakukan sebarang aktiviti, perarakan atau perhimpunan sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP berkata peguam parti itu akan mengkaji sama ada larangan dan sekatan berat kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan dan peraturan pilihan raya.

“Jika Khairy sememangnya bimbang tentang risiko jangkitan baharu Covid-19, beliau sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya daripada diadakan.

“Khairy tidak berani melakukannya kerana beliau tahu bahawa ini akan menyalahi undang-undang, oleh sebab itu dia menggunakan taktik yang tidak beretika dan berat sebelah untuk menguntungkan kerajaan,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran jentera pilihan raya parti itu hari ini di Melaka.

Awal hari ini, Khairy mengumumkan keputusan untuk melarang sebarang aktiviti, perarakan atau perhimpunan sosial berkuat kuasa esok (25 Oktober) hingga 27 November.

Melaka akan mengadakan pilihan raya negeri pada 20 November.

Beliau berkata keputusan itu dibuat memandangkan risiko penularan Covid-19 masih tinggi dan peningkatan jumlah kes baharu.

Lim berkata, parti pemerintah dalam kerajaan mungkin takut menghadapi pengundi kerana telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka dan kegagalan dalam pentadbiran seperti pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Tetapi kerajaan tidak boleh membiarkan ketakutan untuk menghadapi pengundi sehingga melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan pilihan raya dengan adil, bebas dan saksama.

Katanya, Khairy mengambil alih peranan SPR dan mempersendakan demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya.

“Lebih baik Khairy sahaja menjalankan keseluruhan proses pilihan raya dan bukannya SPR.

“Larangan Khairy mengingatkan kita tentang Malaysia di bawah ‘total lockdown’. Sekarang apabila Malaysia dibuka semula tanpa sebarang ‘lockdown’, mengapa ada ‘total lockdown’ yang dikenakan dalam kempen pilihan raya?

“Jelas ini adalah gambaran yang bercanggah tentang sebuah negara, dua sistem berbeza. Mengapa membenarkan pilihan raya diadakan terlebih dahulu?” soal Lim.

Lim menambah pemimpin DAP dan PH akan bermesyuarat untuk membincangkan sekatan yang tidak adil dan tidak demokratik ini yang bertujuan untuk melumpuhkan pembangkang dan memberi kelebihan awal kepada kerajaan.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas Adun itu ialah Idris Haron (Sg Udang-BN), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu). – 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen