PRN Melaka peluang Najib kembali ke pentas Umno, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Pilihan Raya Negeri Melaka boleh menjadi peluang Najib Razak kembali ke pentas utama Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

UMNO bergantung kepada imej Najib Razak dalam usaha parti itu bergerak sendiri di Pilihan Raya Negeri Melaka dan mengharapkan populariti bekas presidennya itu mampu meraih undi, kata pemerhati politik.

Mereka berpandangan yang sebarang kejayaan hasil kepimpinan Najib akan turut mempengaruhi pemilihan parti dan memungkinkan Najib kembali ke puncak kuasa.

Bekas presiden Umno itu baru-baru ini berjaya mendapatkan arahan mahkamah untuk pasportnya dipulangkan sementara supaya beliau dapat pergi ke Singapura untuk berjumpa anak perempuannya yang akan bersalin.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pekan itu mahu menangguhkan lawatan ke Singapura bagi menyertai kempen Umno di Melaka, kerana ketika itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan mendapatkan rawatan perubatan di Jerman.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar memberitahu The Malaysian Insight yang Najib sudah membuktikan beliau ada kemampuan mempengaruhi kejayaan BN seperti mana berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil lepas.

Katanya, interaksi Najib di media sosial berjaya meraih perhatian rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.

“Dia sangat popular di Facebook dengan ‘malu apa bosku’. Dia membina imejnya dengan berkesan dan mendapat perhatian orang Melayu terutama di kawasan luar bandar.

“Kempen peribadinya memberikan kesan besar kepada BN di Cameron Highlands dan Tanjung Piai,” kata Hisomudin.

Imej malu apa bosku digerakkan Najib Razak dalam talian berjaya menarik perhatian rakyat terutama Melayu di kawasan luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut berpandangan serupa, menambah yang Najib adalah orang yang tepat bagi mengetuai kempen di Melaka.

“Dia berpengaruh terutama dalam kalangan pemimpin Bahagian dan rapat dengan akar umbi.

“Dia adalah pilihan terbaik Umno di Melaka. Menteri Umno tak sampai tahap Najib lagi kerana mereka ada imej rapat dengan Bersatu berbanding Umno sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kepentingan jentera Umno bagi memastikan kemenangan parti itu di Melaka.

“Selain Najib, mereka perlu mengukuhkan jentera parti dan jika mereka boleh buat, saya tak fikir mustahil mereka akan menang,” tambahnya.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan bulan lepas selepas empat orang Adun menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat Adun tersebut ialah bekas ketua menteri Idris Haron (Sg Udang-BN) Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas). 

Idris, Nor Azman dan Noor Effandi semuanya dipecat parti masing-masing.

Najib Razak disukai ramai pemimpin Bahagian, memiliki kemampuan mendekati akar umbi dan dilihat tidak rapat dengan Bersatu, ciri yang tiada pada pemimpin Umno lain sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon dan pengundian akan dibuat pada 20 November.

Bagi Dr Oh Ei Sun pula, Najib nampaknya masih diterima pelbagai kumpulan dalam Umno.

Felo kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura itu menyifatkan Umno terpecah kepada beberapa kumpulan di peringkat nasional dan negeri Melaka.

“Najib nampaknya diterima baik oleh pelbagai kumpulan dan dia juga ada tarikan tersendiri dalam pilihan raya.”

“Jadi dengan meletakkan Najib sebagai ketua jentera pilihan raya, Umno berharap untuk memastikan kejayaan hebat di Melaka,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah Amanah, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Beliau masih berdepan pelbagai kes rasuah berkaitan salah guna dana 1Malaysia Development Bhd.

Dari Melaka ke pentas utama politik  

Kesemua tiga penganalisis yang ditemui The Malaysian Insight bersetuju Najib sedang berusaha membuat kemunculan semula di pentas utama politik, malah boleh memasuki pemilihan parti.

Najib Razak disabit bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

Hisomudin berkata Najib sedang bergerak kea rah itu, Mazlan pula yakin yang bekas perdana menteri berusia 68 tahun itu mahu membersihkan imejnya.

“Dia diterima ramai orang dalam media sosial dan dalam Umno. Bolehkah dia menang pemilihan parti? Itu persoalan lain. Tetapi dia sedang berusaha memulihkan imejnya,” kata Hisomudin.

“Naratif dalam taliannya memberi kesan besar kepada rakyat. Untuknya membuat kemunculan semula dalam politik bukanlah satu kejutan. Saya fikir dia akan menyasarkan jawatan presiden atau penasihat parti,” kata Mazlan.

Bagaimanapun, Prof Awang Azman Awang Pawi berkata, masa depan Najib akan ditentukan oleh nasibnya di mahkamah.

“Membuat kemunculan semula bukanlah masalah untuk Najib tetapi dia kena pastikan kesnya di mahkamah selesai. Jika dia menang, dia boleh buat, jika dia kalah (kes mahkamah) susah nak buat kemunculan semula,” kata pensyarah Universiti Malaya itu. – 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen