Najib mohon tangguh perjalanan ke Singapura


Bekas perdana menteri Najib Razak membuat permohonan untuk ke Singapura pada 21 November dan kembali pada 5 Disember.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membolehkan beliau membantu persediaan Umno untuk pilihan raya negeri Melaka, lapor Free Malaysia Today. 

Ahli Parlimen Pekan itu berkata ini kerana presiden parti Ahmad Zahid Hamidi tiada dalam negara untuk melihat persediaan itu kerana menjalani rawatan di Jerman. 

“Saya diberi tanggungjawab untuk memastikan Umno dikendalikan dengan teratur semasa Zahid berada di luar,” kata Najib dalam afidavit yang dipinda.

Pilihan raya negeri Melaka ditetapkan pada 20 November dengan hari penamaan calon pada 8 November.

Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan membenarkan pasport dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau melakukan perjalanan ke Singapura untuk menemani anak perempuannya Nooryana Najwa yang bakal bersalin awal November ini.

Najib sepatutnya ke Singapura pada 3 November, selepas selesai perbahasan Bajet 2022 di Parlimen sehari sebelum itu dan dijangka kembali semula pada 20 November.   

Kini beliau mahu ke negara jiran itu pada 21 November dan kembali pada 5 Disember. 

Permohonannya akan didengar pada Selasa, 26 Oktober. – 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen