Pakatan hilang kredibiliti jika terima pihak jatuhkan Melaka, kata Ramkarpal


Noel Achariam

Ramkarpal Singh berkata nasib empat Adun yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melaka perlu diputuskan oleh rakyat pada PRN nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) akan hilang kredibiliti jika menerima empat bekas Adun yang menyebabkan kerajaan Melaka jatuh, kata Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata nasib mereka perlu diputuskan oleh rakyat apabila negeri itu mengundi pada 20 November.

“Dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang PH tidak boleh dilihat bersekongkol dalam tindakan mereka dengan menerima mereka kerana ini turut boleh merugikan PH pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata sebarang langkah PH mesti dielakkan seboleh mungkin, dengan mempertimbangkan komitmennya untuk membentangkan undang-undang anti lompat parti menurut Memorandum Persefahaman (MoU) yang baru-baru ini ditandatangani dengan kerajaan.

Pada Khamis, PH berkata tidak akan memberikan kerusi kepada penyandang Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang memenangi kerusi itu di bawah tiket DAP pada pilihan raya 2018.

Mereka lain yang belot adalah Adun Sg Udang dan bekas ketua menteri Idris Haron, Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Beliau berkata ramai yang mengkritik kemungkinan PH menerima wakil rakyat ini dan ia adalah wajar.

“Adalah tidak wajar bagi PH untuk menerima keempat-empat mereka dan sekaligus mempromosikan undang-undang anti lompat parti, sama ada dalam bentuk pemilihan semula atau undang-undang anti lompat parti.”

Beliau berkata memandangkan undang-undang anti lompat parti belum diwujudkan, empat bekas Adun itu boleh menjadi calon bebas dalam PRN akan datang dan membenarkan mereka bertanding di bawah PH akan menggagalkan usaha gabungan itu untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

“Ini akan memberi banyak kelebihan kepada mereka yang menentang undang-undang tersebut untuk mengecam PH dan mungkin mengingkari janji mereka melakukan reformasi sebagai sebahagian daripada MoU.”

Ramkarpal menambah salah satu sebab utama menandatangani MoU adalah untuk melihat pelaksanaan reformasi dan PH sekarang memiliki peluang untuk menunjukkan betapa seriusnya perkara itu dilaksanakan dengan menolaknya.

“Diharapkan lompat parti akan menjadi sejarah dengan kelulusan undang-undang anti lompat parti dan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan itu tidak lama lagi.

“PH mesti mengambil semua langkah untuk memastikan ini terlaksana, dan tidak membahayakannya dengan menerima empat Adun tersebut.”

Kerajaan Melaka runtuh selepas empat wakil rakyat menarik sokongan mereka kepada kerajaan negeri Barisan Nasional/Perikatan Nasional yang diketuai oleh Umno.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh berkata PRN akan berlangsung selama 12 hari, dengan pencalonan bermula pada 8 November dan pemilihan pada 20 November. – 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen