Kawal kos sara hidup, bukan naikkan gaji minimum, kata majikan


Ragananthini Vethasalam

Wabak Covid-19 menyebabkan ekonomi Malaysia menyusut kepada -5.% pada 2020 disebabkan penurunan prestasi semua sektor ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2021.

MAJIKAN tidak berminat dengan idea semakan kenaikan gaji minimum tetapi sebaliknya mendesak Putrajaya mengawal kenaikan kos produk dan perkhidmatan. 

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman J.P berkata kebanyakan majikan tidak mampu menaikkan gaji dan apa yang lebih ideal adalah mengawal kenaikan kos sara hidup.

“MEF menyarankan agar daripada mengkaji kenaikan gaji minimum yang ada, usaha harus dilakukan segera untuk mengawal kenaikan harga produk dan perkhidmatan.

“Tiada jumlah kenaikan gaji dapat menampung kos sara hidup yang terus meningkat jika tidak ada langkah efektif dilaksanakan bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah kenaikan kos hidup,” katanya.

Syed Hussain berkata senario ekonomi yang suram tidak membenarkan semakan kenaikan gaji minimum yang ada kerana kebanyakan majikan tidak berkemampuan untuk menanggung kenaikan kos upah.

Beliau berkata kajian kenaikan gaji minimum yang ada akan menganggu usaha pemulihan ekonomi dan boleh menggagalkan banyak program yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Wabak Covid-19 menyebabkan ekonomi Malaysia menyusut kepada -5.% pada 2020 disebabkan penurunan prestasi semua sektor ekonomi.

“Pada 2020, lebih 32,500 syarikat menghentikan operasi dan lebih 107,000 pekerja hilang pekerjaan,” katanya.

Syed Hussain berkata senario ekonomi yang lemah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memutuskan rantai jangkitan Covid-19 pada 2020 dan 2021 menyebabkan pengangguran yang tinggi.

“Malaysia menikmati pekerjaan penuh ketika kadar pengangguran berada di bawah 4% sebelum pandemik Covid-19. Tahap pengangguran belia yang berusia antara 15 hingga 24 tahun pada 12% sememangnya sangat membimbangkan.

“Oleh kerana pelbagai langkah pemotongan kos yang dilakukan oleh majikan, gaji median menurun kepada RM1,988 berbanding RM2,442 pada 2019 dan purata gaji menurun kepada RM2,062 pada 2020 berbanding RM3,224 pada 2019.

“Produktiviti buruh mencatatkan nilai negatif pada 2020. Akibat pengurangan jumlah tenaga kerja dan pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020, produktiviti pekerja mencatat -16%,” katanya.

Walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM18 bilion untuk subsidi gaji yang memberi manfaat kepada lebih 300,000 majikan dan 2.4 juta pekerja, ramai majikan terus berjuang untuk mempertahankannya.

Syed Hussain berkata pengusaha sektor swasta terutamanya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro sangat memerlukan bantuan daripada kerajaan bagi membolehkan mereka mengekalkan pekerja yang ada.

Dalam jangka panjang, mereka mungkin membantu kerajaan menstabilkan pasaran buruh dan mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim baru-baru ini berkata Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) sedang mengkaji semua hasil yang diperoleh dari kajian gaji minimum.

Beliau menambah kajian itu kemudian akan dibentangkan dan dibadaskan di Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan dan persetujuan.

Majlis itu mengadakan enam sesi perbincangan dengan kesatuan sekerja. Ini termasuk 209 persatuan majikan, 93 kesatuan sekerja dan empat badan bukan kerajaan dalam kajian semula gaji minimum pada 1 September. – 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen