30 pelajar Nigeria dibebaskan selepas 4 bulan diculik


Lebih 1,000 pelajar di Nigeria diculik sejak Disember oleh kumpulan bersenjata untuk mendapatkan wang tebusan. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2021.

SERAMAI 30 pelajar yang diculik oleh kumpulan penjenayah lebih 4 bulan lalu di barat laut Nigeria dibebaskan, kata kerajaan tempatan pada Khamis.

Lebih 1,000 pelajar diculik sejak Disember di negara terpadat di Afrika itu oleh kumpulan bersenjata yang dikenali penduduk tempatan sebagai perompak.

“Hari ini ... 30 pelajar Kolej Kerajaan Persekutuan, Birnin Yauri tiba di Birnin Kebbi, ibu negeri Kebbi selepas mereka dibebaskan,” kata jurucakap kerajaan tempatan Yahaya Sarki dalam satu kenyataan.

Tidak jelas apakah wang tebusan dibayar.

Kumpulan bersenjata menyerang Kolej Kerajaan Persekutuan di Kebbi pada 17 Jun.

Polis berkata sekumpulan lelaki bersenjata itu membunuh seorang pegawai keselamatan dan mencederakan seorang pelajar, tetapi enggan mengatakan berapa ramai yang diculik.

“Usaha masih diteruskan untuk menjamin pembebasan (pelajar) yang masih ada,” kata Sarki.

Menurut penduduk tempatan, penyerang menembak dan mencederakan lima orang, termasuk empat pelajar.

Mereka juga menggeledah asrama dan merosakkan barang peribadi pelajar.

Kumpulan perompak itu sekian lama mensasarkan negeri di bahagian tengah dan barat laut, menyerang kampung, mencuri lembu dan menculik untuk tebusan.

Bagaimanapun, mereka menggiatkan sasaran kepada sekolah, menculik pelajar atau kanak-kanak sekolah dan membawa ke tempat persembunyian di hutan untuk berunding pembayaran tebusan.

Sebilangan besar pelajar dibebaskan selepas beberapa minggu atau kadang-kala berbulan lamanya dalam kurungan.

Keganasan di negeri barat laut dan tengah meningkat beberapa bulan kebelakangan ini, menjadikan pasukan keselamatan semakin lemah.

Pada Ahad, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pasar kampung di negara barat laut Sokoto, membunuh 43 orang.

Selepas serangan itu, Presiden Muhammadu Buhari berkata dalam satu kenyataan yang pasukan keselamatan tidak akan mengalah dalam menentang mereka.

Operasi ketenteraan terhadap geng sedang dijalankan di barat laut.

Pihak tentera baru-baru ini berkata berjaya mengalahkan lebih 300 perompak dan menyelamatkan hampir 200 mangsa penculikan.

“Perompak kini berada di bawah tekanan kerana operasi udara dan darat yang kuat dan berterusan terhadap mereka,” tambah Buhari.

Bagi menghalang komunikasi antara kumpulan tersebut, pihak berkuasa juga memotong rangkaian telefon di beberapa wilayah.

Sejak Januari 2020, kira-kira 50,000 orang melarikan diri dari kediaman mereka di barat laut sahaja, menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa.

Lebih 80,000 orang melarikan diri ke negara jiran Niger sejak dua tahun kebelakangan ini. – AFP, 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen