Harga hartanah mungkin naik jika kos bahan mentah tidak stabil, kata pemaju


Raevathi Supramaniam

Harga komoditi bahan binaan naik kerana gangguan rantaian bekalan global yang berpunca daripada pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

HARGA hartanah mungkin naik jika harga bahan binaan terus meningkat untuk jangka masa yang lama, kata Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Heng Choon Soam hari ini.

Harga komoditi bahan binaan naik kerana gangguan rantaian bekalan global yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

Walaupun kenaikan bekalan bahan binaan bangunan, Heng berkata pemaju menanggung kos tambahan.

“Pemaju bertanggungjawab, kebanyakan mereka menanggung kos itu. Dari indeks harga rumah, harga hartanah menjadi sederhana,” katanya pada taklimat media yang diadakan melalui Zoom.

Menurut beliau jika fenomena ini berlanjutan, pemaju tidak akak mampu menanggungnya lagi.

“Semua pihak dalam rantai bekalan akan terkesan, margin mereka akan mengecil.”

Bagaimanapun, Heng mengingatkan sukar untuk menentukan berapa peratus harga hartanah yang mungkin naik, sambil menambah mereka akan terus memantau pasaran.

Harga komoditi seperti bijih besi untuk membuat keluli meningkat 70% dari RM2,000 kepada RM3,400.

“Jika harga bijih besi yang digunakan untuk tiang besi, tembaga untuk pendawaian terus naik bagi jangka waktu yang lama, kesannya terhadap sektor ini akan menjadi serius.

“Namun, ini adalah komoditi global, seperti minyak mentah, kita tidak dapat mengawal harganya. Jika terlalu di luar kawalan mungkin diperlukan beberapa campur tangan daripada kerajaan.”

Bagi komoditi tempatan, Heng berkata pada masa ini terdapat kekurangan batu-bata kerana kilang tidak dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Batu-bata dihasilkan di sini tetapi mereka tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP. Bagaimanapun, pembinaan infrastruktur seperti MRT berterusan, yang menyebabkan pengurangan bekalan batu-bata.

“Ini menyebabkan pembekal menaikkan harga, tetapi ia akan kembali normal tidak lama lagi.” – 21 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen