Kementerian sasar pasaran baharu sawit di Afrika, Timur Tengah 


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau turut dihubungi duta negara Timur Tengah untuk bertemu segera bagi meninjau peluang pemasaran produk sawit.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan untuk memperluaskan lagi produk sawit ke pasaran baharu seperti Afrika dan Timur Tengah selain meningkatkan skala ladang komoditi itu pada masa depan.

Sehubungan itu, Menterinya Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kementerian menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membuat kajian menyeluruh mengenai kekuatan pasaran di rantau Timur Tengah dan Afrika terbabit dalam masa terdekat.

Malah, beliau yang baharu menerajui kementerian itu turut dihubungi duta negara Timur Tengah untuk bertemu segera bagi meninjau peluang pemasaran produk sawit.

“Apa yang berlaku di Eropah (membabitkan persepsi negatif terhadap sawit), biarkan mereka.

“Sebaliknya, bagi kita, apa yang penting adalah berusaha untuk mendapatkan pasaran baharu. Kita akan buat satu hala tuju baharu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat bersama ahli lembaga pengarah MPOB di Bangi, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wee Jeck Seng serta pengerusi MPOB Mohd Bakke Salleh.

Mengulas saiz ladang sawit sedia ada, beliau berkata kementerian akan menumpukan usaha kepada meningkatkan kapasiti terbabit.

“Pada masa ini (saiz ladang) hanya sekitar enam juta hektar manakala pengeluaran sebanyak 20 juta tan bagi setiap hektar,” katanya. – Bernama, 12 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen