Urusan hotel di Bali tak relevan, tiada dalam pertuduhan, kata peguam Zahid


Hailey Chung Wee Kye

Peguam Ahmad Zahid Hamidi, Teh Poh Teik berkata mahkamah tidak perlu bangkit hal urusan hotel di Bali kerana ia tidak pernah disebut dalam pertuduhan, jadi ianya "tidak relevan", "tidak masuk akal" dan "tidak kena pada tempat". – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2021.

TUDUHAN penyelewengan RM17.9 juta untuk beli hotel mewah di Bali, Indonesia hanyalah “naratif” pihak pendakwa, kata peguam bela Ahmad Zahid Hamidi kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam presiden Umno Hisyam Teh Poh Teik berkata mahkamah tidak perlu bangkit hal ini kerana ia tidak pernah disebut dalam tuduhan, jadi ianya “tidak relevan”, “tidak masuk akal” dan “tidak kena pada tempat”.

“Dalam pertuduhan tidak sebut tentang Ri-Yaz Asset Sdn Bhd, tidak ada sebut harga saham dari Pengerusi Ri-Yaz, Abdul Rashid Abdul Manaf, tidak ada sebut mengenai pengarah urusan Ri-Yaz Group, Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek, tidak ada sebut tentang pembelian hotel di Bali dan tidak ada sebut tentang perjanjian penjualan saham.

“Semua bukti yang dikemukakan oleh Rashid dan Shaheen tidak relevan dengan tuduhan ini,” kata Hisyam di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Peguam itu berpendapat tuduhan pecah amanah (CBT) keenam terhadap Zahid adalah bekas menteri dalam negeri itu telah memindahkan RM17.9 juta dari yayasan amal Yayasan Akalbudi kepada firma undang-undang Tetuan Lewis & Co.

“Wang itu masih di bawah pengendalian yayasan itu ketika dimasukkan ke dalam akaun firma guaman,” katanya ketika menjawab atas kes pendakwaan.

“Ini (pembelian hotel Bali) hanyalah naratif pendakwa. Kita perlu kembali ke duduk letak pertuduhan yang asal. “

Zahid, 68, berdepan 47 tuduhan - 27 untuk pengubahan wang haram, 12 pecah amanah jenayah dan lapan kes rasuah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Rashid, saksi pendakwaan ke-83 sebelum ini berkata beliau berusaha menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesulitan membayar pinjaman AS$24.8 juta dari EXIM Bank untuk pembelian sebuah hotel di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran turut menyebut di mahkamah pembeli yang berminat adalah anak perempuan Zahid, Nurul Hidayah Ahmad Zahid.

Pihak pendakwa mempersoalkan bagaimana dengan menjalankan hotel butik dapat membantu membasmi kemiskinan di Malaysia, berkaitan dengan tujuan amal Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan dijangka disambung pada 22 November setelah Zahid kembali dari rawatan perubatannya di Munich, Jerman. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen