Beli hotel mewah di Bali bukan kerja amal, kata pendakwa kes Zahid


imbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid Hamidi mengambil RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi bagi membeli hotel mewah di Bali boleh membantu rakyat miskin di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2021.

TIDAK ada kaitan dengan kerja amal apabila Ahmad Zahid Hamidi mengambil RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi bagi membantu anak perempuannya membeli sebuah hotel mewah di Bali, Indonesia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Wang dari yayasan itu untuk membantu membasmi kemiskinan, kata Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran sambil menambah dia tidak melihat bagaimana menguruskan hotel mewah di Indonesia dapat membantu orang miskin di Malaysia.

“RM17.9 juta adalah bentuk pelaburan oleh Yayasan Akalbudi, persoalannya adalah bagaimana menguruskan hotel mewah di Indonesia membantu orang miskin di Malaysia, jika itu adalah tujuan sebenarnya,” kata Raja Rozela dalam perbicaraan rasuah Zahid hari ini. 

Peguam Zahid sebelum ini berpendapat pengeluaran itu disebabkan oleh kecuaian bekas setiausaha Zahid, Mazlina Mazlan @ Ramly.

“Kami berpendapat tujuan sebenar pengeluaran simpanan tetap RM17.9 juta adalah untuk memudahkan tawaran anak perempuannya untuk membeli hotel di Bali,” kata Raja Rozela.

Mahkamah sebelum ini mendengar Zahid memberikan arahan khusus kepada Affin Bank dalam surat bertarikh 23 Jun 2016 untuk membawa keluar semua wang termasuk faedah yang diperoleh dari tujuh akaun simpanan tetap.

Wang itu dipindahkan ke firma guaman Yayasan Akalbudi, Lewis & Co. melalui cek pegawai bank.

Menurut saksi pendakwaan ke-87, Muralidharan Balan Pillai, rakan kongsi di Lewis & Co., jumlah itu dikreditkan ke dalam akaun pelanggan syarikat pada 28 Jun.

Dua hari kemudian, firma itu mengeluarkan cek bernilai RM8,602,920 kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd selepas mendapat arahan daripada Zahid, kata Muralidharan.

RM9.3 juta yang lain dari RM17,9 juta dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap yang lain.

Muralidharan juga dalam keterangan saksinya berkata dia diarahkan oleh Zahid untuk membuat pembayaran dengan tujuan membeli 60% saham syarikat itu dari pengerusi Ri-Yaz Asset ketika itu, Abdul Rashid Abdul Manaf.

Rashid, saksi pendakwaan ke-83 sebelum ini berkata dia berusaha menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesulitan membayar pinjaman AS$24.8 juta dari EXIM Bank untuk pembelian sebuah hotel di Bali, Indonesia.

“Perlu dinyatakan pembeli yang berminat adalah Nurul Hidayah Ahmad Zahid, anak perempuan tertuduh,” kata Raja Rozela.

“Dan ini disahkan oleh Rashid dan Pengarah Urusan Kumpulan Ri-Yaz Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84) yang berjumpa dengan Nurul Hidayah dan tertuduh untuk membincangkan usaha yang dicadangkan,” katanya.

Zahid, 68, berdepan 47 tuduhan - 27 untuk pengubahan wang haram, 12 pecah amanah jenayah dan lapan kes rasuah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan disambung pada Isnin depan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.  – 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen