AS gesa dunia perangi jenayah siber, halang penjenayah guna matawang kripto


Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Wally Adeyemo berkata kerajaan, syarikat dan individu perlu fokus pada keamanan siber bagi mencegah pelaku jenayah masuk ke dalam sistem mereka, dan berpotensi menggunakannya untuk tebusan. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2021.

SEORANG pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menyeru “usaha global” memerangi serangan siber dan mencegah penjenayah menahan sistem komputer untuk tebusan.

“Akan jadi kritikal yang kita tidak hanya buat ini di Amerika Syarikat, tetapi kita ada usaha global kerana banyak penjenayah siber ini duduk di luar negara kita,” kata Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Wally Adeyemo.

Kerajaan, syarikat dan individu perlu fokus pada keamanan siber bagi mencegah pelaku jenayah masuk ke dalam sistem mereka, dan berpotensi menggunakannya untuk tebusan.

Beliau memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat untuk menyampaikan laporan Perbendaharaan yang menunjukkan penggunaan matawang kripto yang semakin meningkat di luar sistem pembayaran tradisional yang melemahkan keberkesanan sekatan ekonomi AS.

“Tujuan kami adalah untuk pastikan pembayaran tidak masuk ke tangan pelaku jenayah dan… tidak mengalir ke tangan orang-orang yang telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat,” kata Adeyemo.

Sekatan perbendaharaan berfungsi dengan menyekat sasaran - individu, pegawai kerajaan atau syarikat - dari menggunakan sistem kewangan AS, yang menghalangnya dari perbankan atau mendapat keuntungan dari perdagangan di sebahagian besar dunia.

Bagaimanapun tinjauan Perbendaharaan mendapati mata wang digital dan platform pembayaran alternatif menyediakan cara untuk mengurangkan sekatan dengan memindahkan dana dan menyembunyikan keuntungan di luar sistem kewangan yang berasaskan dolar tradisional.

Pegawai itu berkata “memang benar China berusaha mencari jalan di sekitar sistem kewangan kita untuk mengelakkan sekatan.”

Tetapi “dengan mengambil tindakan bersama negara lain” kerajaan lebih mampu “membuat lawan kita bertanggungjawab atas tindakan yang mereka lakukan yang melanggar undang-undang dan norma antarabangsa,” katanya.

Ditanya mengenai Afghanistan, Adeyemo berkata “penting” untuk mengekalkan sekatan ekonomi terhadap Taliban tetapi juga “mencari jalan untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan yang sah kepada rakyat Afghanistan.”

“Saya tidak lihat situasi di mana kita akan biarkan Taliban memiliki akses ke rizab milik rakyat Afghanistan,” katanya, merujuk kepada keputusan Washington untuk menyekat sekitar AS$9 bilion simpanan negara itu yang berada di luar negeri.

Laporan Perbendaharaan menunjukkan penggunaan sekatan meningkat sepuluh kali ganda sejak dua dekad terakhir selepas serangan 11 September 2001, dengan 9,421 sebutan tahun ini berbanding hanya 912 pada 2000. – AFP, 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen