Warisan belum dapat dana sama rata dijanjikan, kata wakil rakyat


Ragananthini Vethasalam

Warisan tidak menandatangani MoU CSR yang dibuat baru-baru ini yang mungkin jadi sebab tidak diberikan peruntukan sama rata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

AHLI Parlimen Warisan masih belum menerima dana kawasan perwakilan yang dijanjikan kerajaan untuk semua wakil rakyat tanpa mengira parti, kata seorang pemimpin parti pembangkang di Sabah itu.

“Kami belum dapat peruntukan, setakat sekarang yang saya tahu,” kata sumber tidak mahu dinamakan yang juga seorang ahli Parlimen itu kepada The Malaysian Insight.

Sebaliknya yang diterima ahli Parlimen Warisan tahun ini hanyalah peruntukan tahunan untuk wakil rakyat pembangkang berjumlah RM100,000 seorang, tambahnya.

Sumber berkata Warisan mungkin diketepikan daripada peruntukan tambahan itu disebabkan keputusannya tidak menandatangani Memorandum Persefahaman Kepercayaan Perbekalan Reformasi (CSR) antara parti baru-baru ini.

CSR yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan parti Pakatan Harapan (PKR, DAP dan Amanah) bulan lepas antara lain menjanjikan reformasi Parlimen, pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun dan dana sama rata untuk semua kawasan perwakilan.

Komitmen peruntukan sama rata akan menjadi amalan baharu berbeza dengan tradisi sebelum ini apabila kerajaan semasa memberikan peruntukan lebih besar hanya kepada wakil rakyat kerajaan berbanding hanya RM100,000 kepada wakil rakyat pembangkang.

Dana itu bertujuan untuk digunakan wakil rakyat bagi menambah baik pembangunan infrastruktur atau sebagai geran dan derma kepada mana-mana badan kebajikan atau kumpulan sivil di kawasan diwakili mereka.

MoU CSR ditandatangani antara kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan parti Pakatan Harapan bagi memastikan komitmen kepada pembaharuan dan gencatan politik berjalan sebelum pilihan raya akan datang. – Gambar Facebook, 17 Oktober, 2021.

Ahli Parlimen Warisan mempersoalkan keperluan MoU dibuat untuk perkara yang memang menjadi tugas kerajaan.

“Mengapa kita perlu tandatangan MoU untuk perkara yang mana-mana kerajaan yang baik sepatutnya buat?” soalnya apabila ditanya mengapa Warisan memutuskan untuk tidak terlibat.

“Contohnya Undi18, kami (ahli Parlimen) meluluskannya ketika itu. Mengapa kita perlu buat perjanjian untuk (kerajaan) melaksanakannya?” katanya merujuk kepada sokongan sebulat suara diberikan wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk usul Undi18 pada 2019.

Pelaksanaan Undi18 bagaimanapun ditangguhkan kerajaan menggunakan alasan pandemik Covid-19.

“Ia adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk berbuat demikian, sama seperti semua pembaharuan yang mereka janjikan.

“Maksud saya jika kami tak tandatangani MoU, jadi mereka tak akan buat? Itu lebih teruk,” tambah ahli Parlimen itu lagi.

Bulan lepas di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mastura Mohd Yazid memberitahu yang Putrajaya bersetuju memberikan dana sama rata kepada semua wakil rakyat untuk baki empat bulan tahun ini.

Katanya, tindakan itu adalah sebahagian daripada komitmen Ismail Sabri untuk melaksanakan transformasi Parlimen.

“Atas sebab itu, saya ingin memberitahu Dewan Rakyat bahawa mulai September hingga Disember 2021, perdana menteri bersetuju memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang,” katanya.

Semantara itu, seorang ahli Parlimen DAP berkata yang wakil rakyat PH dijanjikan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk aktiviti kawasan dan RM100,000 untuk operasi pejabat.

“Kami hanya terima RM250,000 dan RM50,000. Kami juga diberi taklimat minggu lepas,” katanya yang bercakap atas dasar kerahsiaan identiti.

Pembaharuan lain dijanjikan dalam MoU termasuklah menghadkan tempoh pentadbiran perdana menteri kepada 10 tahun dan pembentangan rang undang-undang anti lompat parti. – 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen