Peruntukan sama rata dana ahli Parlimen selama 4 bulan, kata menteri


Raevathi Supramaniam Chan Kok Leong

Semua ahli Parlimen akan menerima peruntukan sama rata selama empat bulan bermula September hingga Disember tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

RaPUTRAJAYA bersetuju memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen selama empat bulan bagi tempoh berakhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Yazid.

“Perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) komited melaksanakan transformasi Parlimen.

“Atas sebab itu, saya ingin memberitahu Dewan Rakyat bahawa mulai September hingga Disember 2021, perdana menteri bersetuju memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang,” katanya.

Mastura berkata demikian dalam ucapan penggulungannya sebagai maklum balas kepada cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Bebas), Mohd Nazri Abdul Aziz (Pandang Rengas-BN) dan Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar-PH). 

Pengumuman oleh menteri itu dibuat selepas kerajaan dan Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersejarah untuk kestabilan dan transformasi politik pada 13 September.

Dalam MoU berkenaan, Ismail menawarkan tujuh reformasi Parlimen dan tadbir urus pembangkang termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun dan membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti di Parlimen.

Beliau juga menawarkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Tambahnya, setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Ismail turut menawarkan penglibatan ahli Parlimen pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen