Keyakinan Najib menjelang pilihan raya


Radzi Razak

Najib Razak kelihatan tenang menjelang PRU14, adakah ia berdasarkan fakta BN akan terus menang atau sengaja dibuat-dibuat? – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

ADA satu hal yang sangat jelas dalam lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Singapura baru-baru ini, betapa beliau yakin – cukup yakin – Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan menang dengan cukup selesa.

Keyakinan itu terserlah semasa mesyuarat pegawai dan ketika perbincangan sampingan, sehingga ternampak oleh pegawai-pegawai Singapura itu akan berlainannya sikap dan gaya pemimpin yang terkait skandal ini berbanding beberapa bulan sebelumnya.

Apakah keyakinan Najib untuk menang PRU14 ini berasaskan fakta, atau hanya sekadar berani yang dibuat-buat sebagai satu helah untuk memberitahu Singapura bahawa mereka akan terus berdepan dengannya lagi walaupun siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih diteruskan?

BN percaya ia akan menang 140 kerusi Parlimen dan dapat semula majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sementara satu kaji selidik dalaman meramalkan parti pemerintah itu boleh sapu sehingga 170 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Ada beberapa alasan kepada keyakinan itu: Ekonomi yang mengukuh, pakatan pembangkang yang tidak padu serta kesungguhan PAS di bawah kepimpinan Presiden Abdul Hadi Awang untuk bertanding sebanyak mungkin kerusi dan memecahkan undi Melayu.

“BN yakin dapat menang sehingga 100 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia saja,” kata satu sumber jentera pilihan raya BN kepada The Malaysian Insight.

BN juga yakin mengekalkan sokongan yang diperolehinya selama ini di Sabah dan Sarawak, katanya.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, 165 kerusi ada di Semenanjung Malaysia, Sarawak 31 dan Sabah 25.

BN menang 133 daripada 222 kerusi pada PRU13, dengan 25 daripadanya di Sarawak dan 22 di Sabah, satu keputusan yang lebih buruk berbanding pilihan raya umum sebelumnya.

Prestasi itu lebih buruk berbanding 2008, tahun yang menyaksikan peralihan besar sokongan rakyat kepada pembangkang, apabila BN buat pertama kalinya sejak 1969 gagal menguasai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, menang 140 kerusi Parlimen.

Najib kali ini yakin hubungan Umno yang lebih baik dengan PAS, musuh tradisinya dalam merebut undi Melayu, akan melonjakkan kedudukan BN dan menyukarkan Pakatan Harapan menang dalam pertembungan tiga penjuru.

Dasar dan ekonomi

Kajian dan analisis menunjukkan BN untung kalau ada pertandingan tiga penjuru kerana sokongan kepada pembangkang akan berpecah.

PRU14 ini bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru di hampir semua kerusi apabila BN akan berdepan bukan saja dengan PH tetapi sebuah lagi blok pembangkang yang diketuai oleh PAS, sebuah parti yang dekat dengan pengundi Melayu iaitu 60% daripada keseluruhan pengundi.

BN juga lebih bersedia melangkah ke PRU14 berbanding pilihan raya sebelum ini, kata pengarah strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim.

“(Najib) yakin kerana pemimpin senior Umno dalam kepimpinan tertinggi turut memainkan peranan dan bekerja keras,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Pemuda BN Zaidel Baharuddin melihat Najib sudah berjaya mengembalikan keyakinan bukan saja parti komponen BN bahkan pelabur dan komuniti peniaga.

“Pertama, BN sudah tak ada isu perselisihan fahaman dalaman sesama mereka. Umno dan komponen parti BN sudah kuat, sudah susun jentera.

“Kedua, dari segi ekonomi juga sudah berjaya. Penanda aras ekonomi meningkat, eksport meningkat, pengukuhan ringgit, selain penambahan mata di bursa saham. Ini yang telah dilakukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kejayaan Najib Razak menarik pelaburan besar China-walaupun dikecam banyak pihak- adalah bukti kejayaan dasar ekonominya dan ia digunakan BN dan Umno untuk meraih undi rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

Kejayaan Najib, jelas Zaidel, memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin BN untuk menyerang dan tidak terperangkap untuk menjawab serangan pembangkang “yang hanya mampu mencanang idea di ceramah politik.”

“Rasanya BN tak perlu risau apa yang dia (pembangkang) kata kepada kita. Kita ada dasar yang akan dilaksanakan.”

Sesetengah dasar itu sudah dirasakan oleh rakyat terutamanya di kawasan bandar, yang dikuasai oleh pembangkang pada PRU13, kata Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar.

Ini termasuk meningkatkan taraf pengangkutan awam melalui transit aliran deras (MRT), membina 80,000 unit rumah mampu milik dan mengurangkan kadar jenayah.

“Banyak perkara ini sudah diatasi. Selain itu, kadar jenayah juga sudah diturunkan.

“Kalau saya jadi rakyat, saya lihat banyak perkara yang beliau (Najib) lakukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada PRU13, BN kalah hampir di semua kerusi Parlimen di kawasan bandar, termasuk hanya menang dua daripada 10 kerusi di Kuala Lumpur.

Jangan selesa sangat

Tetapi sebagai pemerhati politik, Amir menjelaskan BN perlu berhati-hati berdepan dengan faktor Dr Mahathir Mohamad, yang kini mengetuai kempen PH mengasak Putrajaya dan dinamakan sebagai calon perdana menteri pakatan itu jika menang PRU14.

“Dr Mahathir ialah pemimpin berpengalaman yang telah memimpin dan memenangi lima pilihan raya umum sebelum ini. Jadi, BN tidak patut memandang ringan hal itu,” katanya.

Malah katanya, BN tidak boleh terlalu selesa mengharapkan pertembungan tiga penjuru akan memihak kepadanya, seperti yang dibaca oleh banyak kajian politik.

“PAS boleh jadi pengacau kepada BN dan Pakatan Harapan bergantung kepada kerusi,” katanya.

PRU14 akan jadi penentu sama ada Umno dan Barisan Nasional yang memerintah sejak negara Merdeka mampu mengekalkan sokongan rakyat, – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

Pada PRU 2008 misalnya, calon BN misalnya kalah di kerusi Parlimen Padang Terap, Sik, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Bakri, Wangsa Maju dan Kota Kinabalu dengan majoriti yang lebih rendah berbanding undi rosak.

Namun jentera parti menepis peringatan seperti itu dengan menyatakan, isu yang menimbulkan rasa kurang senang rakyat seperti kos sara hidup tinggi akan ditangani dengan pemberian pelbagai insentif termasuk bantuan tunai kepada kumpulan sasaran dari sekarang sampailah menjelang PRU14 nanti.

1MDB macam mana?

Menurut pemimpin Umno, kemarahan rakyat terhadap dakwaan salah laku kewangan dalam syarikat pelaburan negara 1MDB sudah reda.

Mereka juga yakin pakatan pembangkang kini dalam keadaan kucar-kacir, tidak seperti semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Keyakinan Najib untuk menang selesa pada PRU14 nanti, kalau hendak dirumuskan, begini: Ekonomi yang lebih baik, pembangkang yang tidak bersatu, peranan PAS sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru yang memecahkan undi untuk pembangkang serta kemarahan terhadap isu 1MDB yang semakin reda.

Tetapi ada satu lagi perkara yang tidak harus dilupa: Semasa PRU 2013, Najib juga ada keyakinan yang sama untuk BN menang dengan selesa. – 27 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Yakin sgt le tu sampai buat last minute

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan