Tiada rancangan wajibkan vaksinasi Covid-19, kata PM


Aminah Farid

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada rancangan mewajibkan vaksinasi Covid-19 di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA tiada rancangan mewajibkan vaksinasi Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Bagaimanapun, katanya ada pekeliling dikeluarkan untuk penjawat awam dan anggota tentera untuk vaksinasi penuh susulan laporan masih ramai penjawat awam belum divaksin.

“Malah untuk urusan beribadah seperti mengerjakan Umrah juga diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, saya yakin syarat yang sama akan diberi untuk kebenaran mengerjakan Haji yang dijangka bermula tahun depan. 

“Ketua pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan untuk mengambil vaksin kalau tidak akan dikenakan tindakan.

“Mindef (Kementerian Pertahanan)... telah mengeluarkan arahan iaitu siapa (anggota tentera) yang tidak mengambil vaksin dianggap melanggar arahan Mindef, jadi ini gambaran dia seperti wajiblah,“katanya pada sidang media di PPR Seri Perak, Sentul.

Ismail turut menggalakkan mereka yang belum divaksin supaya mendapatkan suntikan vaksin.

 “Berapa lama lagi nak tunggu? Kita dah tunggu lama nak balik kampung.” 

Setakat semalam, 67.5% populasi penduduk Malaysia sudah divaksin dan kerajaan sudah melonggarkan pelbagai sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, masih banyak tempat dan perkhidmatan dihadkan hanya untuk orang yang sudah divaksin penuh.

Dalam hal itu, Ismail berkata tiada tindakan akan diambil kepada golongan anti vaksin selagi mana mereka tidak menyebarkan berita palsu.

“Anti vaksin ini mengeluarkan cerita-cerita yang tidak betul, fitnah, berita palsu dan sebagainya dan memang dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh diambil tindakan untuk penyebaran berita palsu 

“(Tindakan) bukan kerana mereka anti vaksin, tetapi kerana berita yang mereka sebarkan adalah berita palsu, jadi kita boleh ambil tindakan dan kita setuju dengan apa yang KJ (Khairy Jamaluddin) cakap semalam,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan anti vaksin di negara ini.

Beliau berharap tindakan tegas akan diambil seperti siasatan dan mendakwa mereka sekiranya diperlukan.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan pengguna Twitter yang mempersoalkan kekurangan tindakan kepada kumpulan anti vaksin di negara ini.

“Kami harap tindakan susulan (sisatan, pendakwaan, dll) dapat disegerakan. Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan annoying,” katanya. – 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen