Anak kapal teruja kembali terbang, tapi masih bimbang pandemik


Aminah Farid

Nufam berkata anak kapal teruja untuk kembali bertugas, tetapi berharap pihak berkuasa dapat memberikan garis panduan jelas SOP demi keselamatan mereka dan penumpang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

ANAK kapal syarikat penerbangan tempatan teruja untuk kembali terbang susulan sekatan perjalanan kini dilonggarkan, tetapi mereka bimbang dengan keseluruhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka dan penumpang.

Persatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) berkata pihak berkuasa masih belum memberikan garis panduan khusus, terutama di lapangan terbang, walaupun Putrajaya mengumumkan pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa pada 11 Oktober.

Nufam berkata ahlinya juga akan berdepan beban tambahan kerana syarikat penerbangan memberhentikan ribuan anak kapal sejak pandemik tahun lalu.

Sebahagian anak kapal bagaimanapun gembira dengan keadaan itu  kerana sepanjang tempoh itu, mereka berpeluang mendapat pekerjaan lain.

Presiden Nufam Nasaruddin Ismail berkata tiada perbincangan diadakan antara Kementerian Pengangkutan dan Jawatankuasa Majlis Penerbangan Kebangsaan berkenaan garis panduan pembukaan semula itu.

“Saya harap kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan serta-merta kerana tiada garis panduan yang jelas setakat ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kebimbangan kami ialah keselamatan anak kapal terdedah kepada Covid-19 bila sempadan dibuka semula selain mematuhi garis panduan antarabangsa ketika melakukan penerbangan.

“Syarikat penerbangan perlukan tenaga kerja ini, terutama kerjasama daripada persatuan penerbangan untuk membantu mereka pulih kembali,” katanya, menambah kerajaan dan syarikat penerbangan perlu bekerjasama untuk menjayakan keadaan ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan akan mengambil masa yang panjang untuk pulih.

“Jika pihak berkaitan gagal mengendalikan hal ini, maka mereka akan berdepan kecaman daripada kesatuan sekerja,” katanya.

Ismail berkata syarikat penerbangan menjangkakan akan berdepan kekurangan kakitangan sebaik saja ia beroperasi semula selepas terhenti sepanjang pandemik, dengan lebih 4,000 anak kapal diberhentikan.

Beliau berkata perstuan itu juga bimbang anak kapal mungkin tidak bersedia untuk “berlepas dan mendarat” secara besar-besaran.

Nufam juga menggesa syarikat penerbangan mengambil semula kakitangan yang terpaksa diberhentikan ketika pandemik sebelum ini, terutama ketika aktiviti pelancongan kini sudah dibuka.

Juruterbang Mohammad Ridhuan Rosli, 30, memberitahu The Malaysian Insight walaupun beliau teruja untuk kembali terbang seperti biasa, beliau jug abimbang anak kapal mungkin mengalami kepenatan yang ekstrem kerana sudah lama tidak bertugas.

“Bila sempadan mula dibuka semula dan penerbangan kembali normal, kami juruterbang tiba-tiba terpaksa mengendalikan beban tugas yang penuh tekanan selepas agak lama tidak bekerja.

“Jadi saya bimbang dengan aspek pencapaian manusia seperti kepenatan, memastikan kami sentiasa cekap dan bersiap sedia dalam menangani kerja yang banyak selepas lama tidak terbang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, syarikat penerbangan tempat beliau bertugas sedar situasi itu, dan sedang mengendalikan dengan mengedarkan jadual waktu bekerja yang bersesuaian sepanjang bulan bagi memastikan anak kapal tidak terlalu kepenatan. – 16 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen