Robocall pantau individu lapor gejala Covid-19 


Aminah Farid

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menambah baik pusat penilaian klinikal berikutan peralihan fasa Covid-19 ke tahap endemik di Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2021.

INDIVIDU yang melaporkan gejala Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera akan diminta menjalani pemeriksaan lanjut di kemudahan kesihatan terdekat melalui SMS dan panggilan Automated Voice Recording atau robocall, dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Menurutnya sistem ini akan terpakai terutamanya kepada individu yang menunjukkan tanda-tanda amaran seperti demam, kesukaran bernafas, letih lesu berpanjangan, dan sakit dada

“Selain itu, mana-mana individu yang melaporkan dua atau lebih tanda amaran akan menerima panggilan daripada pasukan perubatan Virtual CAC Outbound Team bagi mengesahkan keadaan pesakit dan sekiranya bantuan ambulans diperlukan untuk ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Khidmat robocall ini adalah untuk kumpulan individu yang masih belum menjawab soalan HAT dalam aplikasi MySejahtera dan kepada individu yang melaporkan gejala. 

“Diharapkan dengan penambahbaikan perkhidmatan CAC ini, perkhidmatan pemantauan di rumah atau tempat kediaman pesakit Covid-19 (home monitoring) akan menjadi lebih baik dan seterusnya mengurangkan kadar kematian khususnya kes Brought-In-Death (BID).”

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menaik taraf CAC berikutan peralihan fasa Covid-19 ke tahap endemik di Malaysia, dan beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan dalam fasa ini.

Antara penambahbaikan lain adalah pengembangan CAC maya dari Greater Klang Valley ke seluruh negara, yang telah dilaksanakan bulan lalu, kata Noor Hisham.

Dengan CAC maya, pesakit Covid-19 tanpa gejala yang tidak termasuk dalam kategori berisiko tinggi dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, pemantauan kendiri dan mengemas kini keadaan kesihatan mereka melalui MySejahtera.

Katanya, kementerian turut mempromosikan penyertaan pusat kesihatan swasta untuk menyediakan perkhidmatan CAC alternatif kepada pesakit Covid-19 bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan dan luas semasa kuarantin di rumah.

Berdasarkan saranan dari banyak pihak berkepentingan, kementerian membenarkan penubuhan CAC yang dikendalikan oleh swasta sepenuhnya, yang dapat berfungsi sebagai alternatif kuarantin rumah bagi pesakit Kategori 1 dan 2.

Beberapa lokasi yang dapat diubah menjadi CAC adalah balai raya dan hotel, dan sektor swasta dapat merujuk kepada panduan rujukan yang dirumuskan oleh kementerian untuk menyediakan perkhidmatan tersebut. – 14 Oktober, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen