Tuduhan rasuah hanya serangan politik, kata Rozman Isli


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli anggap tuduhan rasuah terhadapnya adalah serangan politik ekoran pendiriannya enggan meninggalkan Warisan dan sokong kerajaan baharu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2021.

AHLI Parlimen Labuan Rozman Isli menganggap tuduhan rasuah ke atasnya sebagai serangan politik ekoran pendiriannya yang enggan meninggalkan parti Warisan dan menyokong kerajaan baharu.

Beliau percaya tuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini sudah lama dirancang dan berharap ia memberi peluang untuk membersihkan namanya.

“Sebelum ini saya sudah dihadapkan ke mahkamah sebanyak dua kali tetapi setiap kali, pertuduhan berkenaan tidak diteruskan.

“Saya harap kali ini kes dapat diteruskan supaya saya dapat membuktikan saya di pihak yang benar. Berani kerana benar,” katanya.

Beliau berpendapat pertuduhan berkenaan seterusnya bertujuan untuk terus menekan beliau untuk menonggalkan parti dan menyokong kerajaan yang setia kepada perdana menteri waktu ini.

“Pertama dalam masa mereka memujuk saya satu setengah tahun selama ini untuk saya meninggalkan parti Warisan dan menyokong kerajaan (perdana menteri).

“Kes ini sengaja diadakan untuk menakut-nakutkan dan menekan saya. Kedua, pertuduhan ini juga direka bentuk dan disediakan apabila saya tidak mahu mengalah dengan tekanan mereka.

“Maka akhirnya ia akan dibacakan juga di mahkamah untuk menjatuhkan imej saya sebelum PRU15,” katanya.

Terdahulu, Rozman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalahguna jawatan timbalan pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan suapan.

Rozman yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didakwa menggunakan kedudukannya itu untuk kontrak pekerjaaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Ketua whip parti Warisan itu didakwa melakukan demikian tiga tahun lalu, menurut pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Ia menyatakan kontrak bagi syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adik Rozman mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Rozman memenangi kerusi parlimen Labuan atas tiket Umno dua kali sejak 2013. Namun pada 2018, Rozman lompat parti dan menyertai Warisan. – 14 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen