Rozman Isli dituduh salah guna jawatan untuk dapat kontrak pelabuhan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Rozman Isli dituduh guna jawatan dalam Lembaga Pelabuhan Labuan untuk dapat suapan dalam bentuk kontrak operator dermaga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2021.

AHLI Parlimen Labuan Rozman Isli mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan menyalahguna jawatan timbalan pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan suapan.

Rozman yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didakwa menggunakan kedudukannya itu untuk kontrak pekerjaaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Ketua whip parti Warisan itu didakwa melakukan demikian tiga tahun lalu, menurut pertuduhan yang dibaca di hadalam Hakim Rozina Ayob.

Ia menyatakan kontrak bagi syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adik Rozman mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Beliau melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara jam 2.30 dan 5.30 petang, pada 21 Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib seterusnya menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Jaminan itu tidak dibantah peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin di Semenanjung Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 November untuk sebutan semula kes. – 14 Oktober, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen