Malaysia perlu perkenal manfaat kanak-kanak sejagat


INSTITUT Penyelidikan Khazanah (KRI) menerbitkan satu laporan baharu bertajuk “Menongkah Badai: Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia”.

Laporan ini menyentuh pelbagai isu berkenaan sistem perlindungan sosial Malaysia, antaranya program kebajikan sosial bersifat jangka pendek dan tidak didasari dengan komitmen dari segi perundangan.

Ini menghasilkan program yang kurang lestari, memberi faedah yang tidak mencukupi dan tidak menentu, tidak selaras serta bertindih disamping berterusan menghadapi masalah jurang liputan dan keciciran.

Salah satu cadangan daripada laporan tersebut adalah agar kerajaan melancarkan skim “Manfaat Kanak-kanak Sejagat” (Universal Child Benefit) yang memberikan wang tunai tanpa syarat sebanyak RM100 atau RM150 sebulan kepada semua kanak-kanak, sehingga mereka mencapai umur 18 tahun.

Di sini saya senaraikan 10 sebab mengapa dasar ini wajar dilaksanakan sekarang.

Insiden kemiskinian dalam kalangan isi rumah yang mempunyai kanak-kanak adalah tinggi berbanding isi rumah yang tiada kanak-kanak.

Lebih kurang 8.7% isi rumah yang mempunyai kanak-kanak hidup di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK), berbanding 5.6% untuk semua isi rumah dan 2.1% untuk isi rumah tanpa kanak-kanak.

Kemiskinan bukan sahaja boleh menyebabkan kesan langsung dalam tumbesaran kanak-kanak, malah boleh juga mengakibatkan kesan buruk jangka panjang.

Belenggu kemiskinan ini akan berterusan ke alam dewasa, di mana anak miskin terus ketinggalan dan memburukkan ketidaksamaan sosial negara.

Setiap anak lahir ke dunia ini dengan satu risiko diluar kawalan apabila mereka tidak boleh memilih status ibu bapa yang melahirkan, apatah lagi memastikan mereka lahir dalam keluarga kaya dan berada (birth lottery).

Maka, manfaat ini memberikan semua kanak-kanak peluang untuk membesar tanpa halangan kemiskinan melalui pendapatan minimum kepada keluarga untuk dibelanjakan bagi kegunaan anak-anak, walaupun pendapatan mereka sendiri tidak mengizinkan seperti ditimpa kemalangan, jatuh sakit dan hilang kerja.

Skim perlindungan sosial untuk keluarga dan kanak-kanak sedia ada di Malaysia masih belum didasari dengan komitmen perundangan.  

Konvensyen No.102 Keselamatan Sosial oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization) telah menggariskan sembilan cabang teras perlindungan sosial dan salah satunya adalah berkaitan risiko bagi keluarga dan kanak-kanak.

Pengenalan manfaat kanak-kanak sejagat boleh menjadi suatu dasar yang dapat menangani risiko tersebut dan perkara ini diperakui di peringkat antarabangsa.

Ini bukanlah cadangan baru dan sudahpun dilaksanakan di negara berpendapatan tinggi seperti UK, Jerman dan Jepun mahupun negara berpendapatan rendah seperti Afrika Selatan dan Mongolia.

Perbelanjaan ke atas kanak-kanak adalah pelaburan untuk masa depan negara. Generasi kanak-kanak hari ini akan menjadi nadi pembangunan negara pada masa hadapan.

Mereka akan menjadi tenaga profesional dalam pelbagai bidang, ahli perniagaan, penjaga bagi golongan tua dan kanak-kanak, dan pemimpin negara.

Tenaga kerja mereka akan menggerakkan ekonomi, dan hasil cukai daripada pendapatan mereka akan dikitarkan untuk membiayai perkhidmatan awam dan kos pembangunan lain.

Oleh itu, negara perlu melabur untuk memaksimumkan potensi setiap kanak-kanak supaya aset berharga ini berdaya saing dan mampu menjamin kemakmuran negara.

Skim sedia ada mewujudkan fenomena “golongan di tengah yang tercicir”.

Fenomena ini berlaku apabila sebuah keluarga itu berpendapatan terlalu tinggi untuk layak mendapat bantuan sosial seperti Bantuan Kanak-kanak dan juga Bantuan Prihatin Rakyat, tetapi terlalu rendah untuk memohon pelepasan cukai untuk perbelanjaan berkaitan kanak-kanak.

Di samping itu, pengiraan KRI menunjukkan skim sedia ada lebih memanfaatkan keluarga berpendapatan tinggi berbanding keluarga berpendapatan tengah dan rendah.

Oleh itu, manfaat kanak-kanak sejagat dapat memastikan tiada keluarga yang tercicir dan memastikan sistem perlindungan sosial bersifat lebih progresif.

Program bersifat sejagat adalah lebih inklusif dan mampu menangani masalah liputan dan keciciran.

Contohnya keluarga yang mengalami kesempitan hidup kerana berpendapatan RM2,500.

Namun, pendapatan mereka lebih daripada nilai ambang yang ditetapkan (seperti PGK RM2,208) boleh menyebabkan mereka tidak layak untuk bantuan sosial sedia ada, walaupun mereka juga memerlukan sokongan.

Kos pemantauan yang tinggi untuk menjalankan program bersasar—termasuk penyemakan semula takrif yang digunakan dalam penentuan keluarga yang ‘layak’ bagi memastikan ia setara dengan kos sara hidup semasa—juga menyebabkan saringan isi rumah yang ‘memerlukan’ tidak dapat dijalankan dengan kerap, sedangkan isi rumah boleh jatuh miskin bila-bila masa sahaja.

Program sejagat mempunyai pentadbiran yang lebih mudah berbanding program bersasar.

Kerajaan dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos untuk menilai sama ada sesebuah keluarga itu layak atau tidak layak menerima manfaat.

Bayangkan jika setiap tahun kerajaan perlu menilai setiap keluarga di Malaysia sedangkan negara dianggarkan mempunyai 3.5 juta isi rumah yang mempunyai kanak-kanak.

Program yang bersifat sejagat tanpa syarat dapat menghapuskan pelbagai halangan untuk mendapatkan bantuan seperti yang dilihat dalam kajian kes program bersasar.

Disebabkan program yang bersifat bersasar kebiasannya mempunyai liputan yang lebih rendah, kajian luar negara menunjukkan ia boleh meningkatkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang menyalurkan bantuan.

Contohnya pihak berkuasa mensyaratkan masyarakat untuk mengundi mereka ketika pilihan raya jika mereka ingin menerima bantuan.

Selain itu, program sejagat dapat mengatasi isu penstigmaan (dipandang aib) seperti melabel mereka sebagai ‘malas’, ‘hanya mengharap bantuan’ dan sebagainya kerana semua keluarga mendapat manfaat.

Manfaat berbentuk wang tunai memudahkan ibu bapa untuk berbelanja dan memenuhi keperluan masing-masing berbanding manfaat berbentuk barangan (contohnya makanan dan pakaian).

Setiap keluarga menghadapi situasi yang berbeza dan mereka sendiri mampu menilai wang yang diterima wajar disalurkan ke mana, sama ada untuk membeli susu, kain lampin, buku, yuran taska, uniform sekolah ataupun sebagai simpanan.

Sebaliknya, program berbentuk barangan mempunyai kos tersendiri seperti kos menyimpan dan memindahkan barang serta mudah luput.

Manfaat kanak-kanak yang bersifat sejagat dapat membina semangat solidariti dalam masyarakat Malaysia. 

Ini kerana rakyat faham bahawa melalui program ini, duit cukai mereka akan disalurkan kembali kepada keluarga-keluarga yang membesarkan generasi Malaysia seterusnya.

Program ini juga dilihat sebagai suatu hak untuk setiap warga Malaysia semasa mereka di peringkat umur kanak-kanak.

Dengan kata lain, setiap warga Malaysia yang dilahirkan pada masa akan datang akan menjadi penerima program manfaat ini.

Program wang tunai ini dapat merangsangkan ekonomi tempatan.

Kajian antarabangsa menunjukkan wang yang diterima isi rumah, lagi-lagi isi rumah berpendapatan rendah, kebiasaannya dibelanjakan untuk membeli barang keperluan seperti makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Kesan positif daripada program wang tunai dapat dari sudut jangka pendek dan jangka panjang untuk kanak-kanak dan isi rumah.

Malah, kajian di Afrika oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agriculture Organization,FAO) menunjukkan setiap AS$1 yang dipindahkan ke isi rumah menjana hingga AS$1.81 untuk ekonomi tempatan. – 14 Oktober, 2021.

* Puteri Marjan Megat Muzafar, penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen