Prinsip, nilai yang sama dorong Adam Adli sertai PKR 


Aminah Farid Nabihah Hamid Syazwana Amir

Adam Adli Abd Halim berkata prinsip dan nilai yang sama serta persahabatan sejak sekian lama menjadi sebab utama mengapa beliau menyertai PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2021.

PRINSIP dan nilai yang sama serta persahabatan sejak sekian lama menjadi sebab utama mengapa Adam Adli Abdul Halim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Bekas aktivis pelajar itu memberitahu The Malaysian Insight walaupun beliau mempunyai hubungan rapat dengan parti seperti DAP dan Amanah, PKR adalah yang paling dekat dihatinya.

“Prinsip-prinsipnya dan sejarahnya sendiri. Itu tarikan yang sangat kuat. Kita boleh ikut,” kata aktivis berusia 32 tahun itu yang menambah beliau tertarik dengan PKR sejak aktif dalam demonstrasi pelajar.

Sebagai aktivis pelajar, Adam sering ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa kerana lantang menyuarakan pandangan berhubung kebebasan akademik.

Ditanya adakah beliau tidak menyertai Muda kerana ia masih tidak didaftarkan sebagai sebuah parti, Adam berkata itu bukan masalahnya. 

“Tidak semestinya. Orang macam saya yang terlibat dengan gerakan aktivisme, tak kisah sama lulus atau tidak,” katanya. 

Katanya beliau tidak mempertimbangkan untuk sertai Muda kerana beliau lebih dekat dengan PKR. Selain itu katanya sekiranya semua orang muda sertai Muda, tiada lagi golongan itu untuk mengangkat kepelbagaian politik belia. 

“Saya rasa, generasi sekarang, rakan seperjuangan atau pemuda dalam politik hari ini, semua memainkan peranan masing-masing untuk memastikan bahawa pada masa akan datang, kita dapat melihat lanskap politik yang lebih sihat.

“Landskap ini dapat memainkan politik progresif, yang dapat mendorong politik muda dan baru, jadi perlu ada di semua tempat, bukan hanya di satu tempat, itulah hujah yang selalu saya tegakkan.

“Jadi persoalannya tidak seharusnya mengenai parti politik mana yang lebih baik dalam hal ini, tidak adil. Sebenarnya, saya tidak merasa selesa untuk mengulas mengenai parti politik lain,” kata Adam. – 14 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen