AKTIVIS terkenal yang juga ahli baharu PKR, Adam Adli Abdul Halim menyenaraikan isu yang akan ditanganinya sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Bekas aktivis pelajar, yang sebelum ini pernah berdepan dengan tindakan undang-undang kerana bangkit dan menyuarakan isu yang menjejaskan pelajar, mengambil langkah besar apabila menyertai PKR bulan lalu.
Katanya kepada The Malaysian Insight, keutamaannya adalah memberi pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia.
Penggubal dasar harus berusaha untuk membina sistem yang akhirnya dapat memberikan pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia, kata Adam kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya walaupun terdapat kebimbangan bahawa pendidikan percuma akan memberi kesan kepada ekonomi negara, tidak bermakna agenda itu harus dihentikan.
Adam berkata demikian menjawab soalan apa yang akan beliau perjuangkan apabila dipilih sebagai wakil rakyat di masa akan datang.
Pendidikan percuma pada peringkat pengajian tinggi adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang mana bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berjanji akan menunaikannya selepas pilihan raya berikutnya.
Ia bagaimanapun tidak kesampaian apabila pentadbiran PH dijatuhkan tahun lalu.
Sejak itu, semua inisiatif oleh Maszlee diketepikan dan tidak disebut oleh pentadbiran baharu.
Adam berkata beliau faham akan ada kompromi, beliau percaya negara masih boleh berusaha ke arah pendidikan percuma dengan bersedia untuknya dan menetapkan garis masa.
“Beritahu bila dan rancang. Bukan minta ramal masa depan, kita tidak boleh bagitahu kita mampu. Tapi buat perancangan ke arah tersebut,” katanya.
Beliau berkata penggubal dasar juga perlu meneruskan perjuangan untuk isu pelajar sedia ada seperti memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Dua isu ini juga merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.
Katanya isu tersebut bukanlah perkara asing kerana pendidikan memberi kesan kepada negara dari segenap aspek.
“Ia perlu ada usaha dan kajian tetapi kena serius bukan lepas batuk di tangga semata-mata,” katanya.
Sebagai aktivis pelajar, Adam sering ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa kerana lantang menyuarakan pandangan berhubung kebebasan akademik.
Pada 2014, beliau dijatuhi hukuman penjara kerana hasutan berkaitan ucapan yang dibuat pada sebuah forum, yang mana beliau menggesa rakyat untuk turun ke jalan raya bagi membantah keputusan pilihan raya.
Bagaimanapun pada 2018, aktivis berusia 32 tahun itu dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.
Sementara itu mengenai perkara lain, beliau berkata negara perlu melihat semula pembaharuan institusi yang memberi kesan kepada pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan kerana eksploitasi di tempat kerja berlaku kepada warga Malaysia dan bukan warga Malaysia.
Adam berkata gaji minmum juga perlu disemak semula kerana kebanyakan pendapatan tetap tidak stabil sepanjang tahun walaupun kos hidup meningkat secara beransur-ansur.
Beliau berkata selagi tidak ada pembaharuan institusi maka rakyat akan sentiasa bergelut dengan sumber pendapatan kerana ketiadaan pembaharuan akan memberi ruang kepada rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.
“Isu seperti rasuah adalah antara masalah utama yang memberi kesan kepada pertumbuhan negara jadi kita perlu berubah,” katanya.
Adam berkata hali politik dan juga mereka yang menggerakkan acara politik atau diskusi perlu memberikan lebih daripada ceramah atau forum awam.
“Mereka mesti memastikan bahawa perbincangan dan isu-isu ini dibawa ke tahap penggubal dasar,” tambahnya. – 14 Oktober, 2021.
Komen