Kes sembuh Covid-19 terus atasi jangkitan baharu


Aminah Farid

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 725 pesakit di unit rawatan rapi dan dari jumlah tersebut 710 merupakan kes Covid-19, sementara 15 lagi disyaki dan sedang disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2021.

NEGARA melaporkan 10,832 kes sembuh Covid-19 berbanding 7,950 jangkitan baharu setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Buat 27 hari berturut-turut secara konsisten negara melaporkan lebih banyak kes sembuh berbanding jangkitan baharu.

Sejumlah 2,227,889 orang kini sudah pulih dari Covid-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 725 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan dari jumlah tersebut 710 adalah kes Covid-19, sementara 15 lagi disyaki dan sedang disiasat.

Katanya 380 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan, di mana 76 daripadanya disyaki dan sedang disiasat.

Sebahagian besar kes hari ini atau sebanyak 7,817 berada dalam Kategori 1 (tiada gejala) dan 2 (gejala ringan) sementara 133 berada dalam kategori jangkitan yang lebih teruk.

Dr Noor Hisham turut melaporkan 13 kluster baharu, di mana enam melibatkan tempat kerja, tiga kluster komuniti, dua institusi akademik, dan satu kumpulan berisiko tinggi serta satu pusat tahanan.

Kluster hari ini menjadikan jumlah kluster aktif negara kini berjumlah 762. – 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen