Ahli Parlimen gesa tindakan terhadap pembekal arak haram


Elill Easwaran

Harga arah haram yang murah dan mudah didapati menyebabkan ia menjadi pilihan pekerja miskin dan migran. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2021.

BERHARGA RM10 hingga RM15 sebotol, Ramesh, seorang pengawal keselamatan Nepal berkata minuman keras haram adalah yang termampu dibelinya untuk menghilangkan kerisauan yang berlegar di fikiran.

Apabila diberitahu mengenai bahaya minuman itu kepada dirinya dan juga kemungkinan keracunan metanol, Ramesh, yang hanya ingin dikenali dengan nama pertamanya, berkata beliau terlalu bimbangkan keluarganya di negara asal.

“Saya tidak dapat mengirim banyak wang kepada mereka sejak bertukar kerja kerana wabak penyakit dan ia membuat saya risau setiap hari memikirkan sama ada isteri dan anak-anak di sana cukup makan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Keracunan metanol akibat minuman keras buatan haram baru-baru ini membunuh 33 orang pada September sahaja. 

Kematian itu merupakan daripada 55 kes keracunan metanol yang dilaporkan kepada pihak kesihatan, dengan jumlah kes paling banyak berlaku di Selangor.

Ini bukan kali pertama, beberapa kejadian keracunan metanol dilaporkan sejak peristiwa besar pertama melibatkan 41 orang di Selangor pada 2013.

Pada 2018, satu lagi kejadian besar berlaku melibatkan 98 kes, dengan 45 orang maut. 

Sebilangan besar mereka adalah pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Minuman keras yang haram dan murah popular di kalangan pekerja miskin dan migran di Malaysia.

Disebabkan duti alkohol yang tinggi, pengeluar dan pembekal terpaksa menanggungnya, kata ahli Parlimen kepada The Malaysian Insight.

Beliau menggesa pihak berkuasa perlu melakukan lebih banyak tindakan untuk mengambil tindakan terhadap pengeluaran dan penjualan secara haram.

“Masalah ini sudah berlarutan sekian lama tetapi tiada tindakan keras diambil oleh pihak berwajib,” kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Beliau berkata kematian akibat keracunan metanol pada September merupakan satu lagi amaran kepada kerajaan kerana semua kematian itu berlaku dalam jangka masa tiga minggu.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu mencari tempat di mana minuman keras dibuat dan dijual secara haram, dan kerap melakukan serbuan.

“Hukuman yang diberikan kepada pembekal juga harus didedahkan untuk menimbulkan rasa takut dan kesedaran tentang akibat yang akan dihadapi seseorang kerana membekal dan menjualnya.”

Kawasan Santiago mempunyai banyak kilang dan pelabuhan utama mempunyai komuniti pekerja migran yang besar.

Menurutnya, penjualan alkohol haram dilakukan semasa perintakan sekatan kerana banyak pekerja kehilangan pekerjaan.

“Ribuan orang kehilangan pekerjaan dan alkohol haram menjadi satu-satunya pilihan kerana harganya lebih murah,” katanya.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto juga berkata belum ada usaha wajar oleh kerajaan untuk mengatasi keracunan minuman keras dan metanol.

“Sekiranya kes baru-baru ini diabaikan lagi, hanya akan ada lebih banyak kes dan kematian dalam masa terdekat kerana bekalan arak haram,” katanya.

Beliau bersetuju lebih banyak serbuan harus dilakukan di kedai serbaneka yang menjual arak murah.

Kasthuriraani juga membangkitkan kebimbangan yang pembekal kini mensasarkan golongan muda dengan mempunyai banyak pilihan perisa.

“Penduduk di kawasan saya memberitahu arak haram sekarang mempunyai banyak perisa yang menarik peminum di bawah umur.”

Keracunan metanol memberi kesan kepada sistem saraf utama dan boleh mengakibatkan buta, sawan dan koma.

Pembuatan minuman keras haram dan penyeludupan adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kastam.

Kesalahan menjual minuman keras haram, pesalah boleh didenda tidak lebih RM50,000. Bagi memiliki peralatan proses arak, hukumannya adalah penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Rakan Ramesh, seorang pekerja Bangladesh bernama Kadir berkata pekerja migran hanya dapat membeli arak haram untuk menghilangkan tekanan.

“Kami tidak memperoleh banyak pendapatan dan dengan komitmen untuk menghantar wang pulang ke tanah air, ia adalah satu-satunya jenis arak yang mampu kami beli.

“Saya tahu ia boleh merosakkan badan jadi saya tidak terlalu kerap mengambilnya. Tetapi saya melihat pekerja migran yang lebih muda, seperti mereka yang berusia 20-an, membelinya hampir setiap dua atau tiga hari,” kata Kadir.

Ia juga sangat mudah dibeli, tambahnya. – 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen