33 maut akibat minum arak beracun, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengguna perlu elak ambil minuman beralkohol dihasilkan sendiri atau yang meragukan supaya tidak diracuni metanol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2021.

SEBANYAK 33 kematian akibat minum arak buatan sendiri yang mengandungi metanol dilaporkan antara 9 hingga 30 September, kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kematian itu adalah dari keseluruhan 55 kes keracunan metanol yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM telah menerima sebanyak 55 notifikasi kes keracunan metanol.

“Secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian telah dilaporkan menjadikan kadar serangan sebanyak 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor mencatat kes tertinggi dengan 25 kes, diikuti Perak dengan 13 kes, Pahang (5 kes), Pulau Pinang (6), WP Kuala Lumpur (4) dan masing-masing satu kes di Johor dan Negeri Sembilan. 

“Daripada 55 kes tersebut, sebanyak 26 kes atau 47 peratus terdiri daripada warganegara Malaysia manakala selebihnya bukan warganegara.

“Daripada jumlah kematian dilaporkan, 18 kes melibatkan warganegara Malaysia manakala 15 kes adalah bukan warganegara iaitu tujuh Myanmar, lima India dan tiga Nepal,” katanya.

Tambahnya, daripada kes yang tidak melibatkan kematian, sebanyak tujuh kes telah discaj dari hospital manakala 15 kes lagi sedang menerima rawatan di mana 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal yang dirawat di wad.

Dr Noor Hisham berkata keracunan metanol terjadi ketika minum alkohol yang tidak disuling dengan betul, yang sering terjadi bagi mereka yang membuatnya secara haram.

“Kebiasaanya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol. Ini adalah kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol.

“Sebaik-baiknya, masyarakat adalah disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat tanpa alkohol.,” katanya.

Gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol, tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata mereka yang mengalami gejala ini setelah minum alkohol di rumah harus dapatkan bantuan dari klinik atau hospital terdekat.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak KKM bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandang serius akan kejadian ini.

“Agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau dan memastikan tiada aktiviti import/eksport barangan kawalan atau penjualan atau pengedaran minuman beralkohol yang dicemari dengan metanol dalam usaha mengawal penularan kejadian keracunan ini, selain bagi memastikan juga premis jualan tersebut mempunyai lesen perniagaan yang sah.” – 1 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen